Ameerah Tuntut Setiausaha Ulama Muda UMNO Pohon Maaf

muslimat 1 meiKUALA TERENGGANU – Islam sebagai agama langit yang suci dan teragung sangat menghormati dan menjaga kehormatan para wanita.

Kedudukan wanita dalam Islam diangkat di tempat yang sepatutnya sesuai dengan jasa dan pengorbanan kaum hawa yang tidak mungkin boleh dilakukan oleh kaum adam seperti tugas pejuang di dalam rumahtangga mahupun di medan luar rumah.
Oleh itu, Pengerusi Ameerah Negeri Terengganu Puan Zuraida Mohd Noor memberi amaran kepada mana-mana pihak agar tidak melemparkan pandangan dan membuat kenyataan sewenang-wenangnya terhadap kaum hawa.
“memberikan pandangan mahupun kenyataan yang ditujukan kepada muslimah haruslah berhati-hati. Ia tidak harus dilemparkan sewenang-wenangnya tanpa asas dan mengikut emosi dan pegangan politik yang sempit,”tegasnya.
Pengerusi Ameerah itu berkata demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Beliau berkata, AMEERAH yang bermotokan “Menerajui Perubahan Generasi Baru” memberi perhatian untuk menggiatkan kesedaran politik dalam kalangan generasi muda wanita, menanamkan semangat patriotisme kepada negara dan meningkatkan partisipasi generasi wanita muda dalam membangunkan masyarakat.
Katanya, Ameerah turun sebagai demonstran dalam Himpunan 1 Mei adalah bukti kesedaran wanita muda yang ingin menuntut masa depan yang lebih baik dari kerajaan, bukan yang meresahkan jiwa dan nurani rakyat.
Justeru itu pihak AMEERAH Negeri Terengganu sebagai sayap muda Dewan Muslimat PAS Negeri Terengganu amat kesal dengan kenyataan dari pihak ulama’ muda umno yang mengatakan para demonstran muslimah bertudung labuh yang adalah pelacur kelas atasan.
“Ianya merupakan satu kenyataan yang biadap, dangkal dan menyalahi akhlak seorang lelaki muslim.
“Biarpun ia menyatakan apa yang diutarakan secara analogi namun ia sangat merendahkan kaum muslimah yang turun ke jalanan demi memperjuangkan nasib rakyat yang sedang ditindas oleh kerajaan.
“Rasulullah s.a.w mahupun sahabat sangat mengalukan pendapat wanita dan membenarkan wanita terjun ke medan juang. Apatah lagi demonstran melibatkn pergerakan minimal yang tidak sampai mendedahkan aurat para muslimah,”jelasnya.
Selar Zuraida, mengaitkan perbuatan menggoda seperti yang dilakukan para pelacur pula langsung tidak berasas dan meletakkan maruah wanita Islam di tempat yang tidak sepatutnya
Oleh yang demikian itu, AMEERAH Negeri Terengganu dengan ini mendesak Setiausaha Ulama Muda UMNO terbabit membuat permohonan maaf secara terbuka kepada semua demonstran muslimah yang terlibat dan mengharapkan agar selepas ini perlakuan ini tidak diulangi.

Ulasan