Celotehmu Jadi Kenangan……..

HisyamSesiapa yang sering berkunjung ke sebuah pasaraya di Marang pasti tidak kering gusi melihat telatah dan keramahan seorang pemuda istimewa di situ. Pemuda yang dimaksudkan itu ialah Hisyam [Gambar bawah] yang lebih dikenali dengan Pok Sam.

Beliau dilihat sentiasa riang melayan pengunjung pasaraya di situ, selain suka menyanyi. Namun kini semua itu menjadi kenangan yang terpahat di ingatan bagi yang pernah mengenali Pok Sam.
Pada awal pagi semalam, rumah Pok Sam yang tinggal bersama keluarganya hangus dijilat api. Kebakaran dipercayai bermula sekitar pukul 6 pagi iaitu lokasinya di sekitar Surau Mat Muda Kampung Kijing.
Jenazah beliau hanya dapat dikeluarkan kira-kira pukul 7 pagi. Ketika kejadian, ibu arwah yang dikenali Che Ngah tiada di rumah, kerana berada di surau untuk solat Subuh.
Lebih kurang pukul 8.30 pagi, To’ Puan Seri Zainab Awang Ngah iaitu isteri Tuan Guru Presiden telah menziarahi ibu mangsa. Turut bersama rombongan ziarah itu adalah Halwa Dun Rhu Rendang. Ibu arwah kelihatan tenang menerima tetamu yang datang menziarahinya tidak putus-putus. Simpati mereka sedikit sebanyak menenangkannya sekeluarga menerima ujian Ilahi ini.
Menurut Che Ngah, api marak membakar rumah kayu mereka begitu cepat. Bomba yang tiba di tempat kejadian hanya mampu memadamkan saki baki api kebakaran yang membakar sepenuhnya rumah mereka. Di akhir ziarah, To’ Puan menyampaikan kata-kata semangat dan sedikit sumbangan bagi meringankan beban dan kesedihan yang menimpa mereka.

Ulasan