Mahasiswa Terengganu Perlu ‘Berangkaian’

IMG_0008

Oleh : Amani Mohamad
KUALA NERUS – Bakal mahasiswa dan siswi anak-anak Terengganu disaran supaya dapat mengadakan rangkaian (networking) persahabatan bagi meraih pengalaman dan membantu mereka menjalani kehidupan selepas tamat pengajian.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Ustaz Hishamuddin Abd Karim berkata demikian ketika berkongsi cerita dan menyampaikan nasihat kepada bakal-bakal mahasiswa.
Selaku mantan Ketua Pelajar Terengganu ketika menuntut di luar negara suatu ketika dahulu, beliau berpesan supaya mereka meluaskan pergaulan tanpa mengira negeri atau tempat asal usul.
“Apabila bergelar pelajar, kita perlu membina ‘networking’ dengan rakan-rakan dari negeri lain dan jurusan yang lain.
“Jangan hanya bergaul sesama orang Terengganu sahaja. Ini boleh membantu kita di kemudian hari,”ujarnya ketika berucap pada Majlis Pertemuan dan Dialog yang diadakan pada Rabu, 28 Mei.
Program anjuran Muslimat PAS DUN Tepoh yang diadakan di Dewan Yayasan Amal Wakaf Tembesu telah dihadiri oleh lebih 50 orang lepasan pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).
Ustaz Hishamuddin yang juga Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Terengganu mengesyorkan agar para mahasiswa supaya bergerak aktif di kampus masing, tanpa mengabaikan prestasi akademik masing-masing.
IMG_9983Katanya, beliau sedia untuk memberi panduan kepada ‘adik-adik’ bakal mahasiswa, bagaimana mereka mahu memilih aktiviti dan kumpulan yang mahu dianggotai, apabila menjejakkan kaki ke menara gading.
“InsyaAllah, Ustaz (saya) akan cuba buat satu ‘group’ di ‘whatsapp’ di mana adik-adik boleh meminta pendapat dan memberitahu perkembangan masing-masing secara terus dengan saya.
“Saya juga boleh mengesyorkan mana-mana persatuan dan gerakan pelajar yang bagus untuk adik-adik sertai di kampus masing-masing,”katanya ketika menjawab pertanyaan yang diajukan, semasa sesi dialog dalam majlis tersebut.
Beliau turut menyampaikan sedikit sumbangan ‘wang poket’ kepada para peserta program, yang masing-masing akan menjejakkan kaki ke institusi pengajian tinggi dalam dan luar negara, bermula minggu hadapan.

Ulasan