Khairunnisa’ Aktif Bantu Masyarakat




MARANG – Pertubuhan Khairunnisa’ (Isteri wakil rakyat dan bekas wakil rakyat PAS Terengganu) merancang pelbagai program untuk turun, mendekati dan membantu masyarakat.


Menurut Pengerusinya, Tuan Roslina Tuan Sulaiman [Gambar kanan] , Khairunnisa’ bergerak sepanjang tahun dan di seluruh negeri Terengganu, memberikan khidmat kepada pelbagai golongan.



“sebelum Ramadhan yang lalu, kita telah turun ke kawasan Besut dan Setiu untuk satu program bersama dengan ibu-ibu tunggal,



“Alhamdulillah hari ini kita mengucapkan syukur kepada Allah SWT kerana dengan izin Allah kita dapat melaksanakan satu program cakna masyarakat, dengan kita menumpukan kepada golongan OKU,”ujarnya.



Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis peenyampaian sumbangan tersebut yang diadakan di Rusila pada Sabtu 12 Julai lalu.


Beliau yang merupakan isteri kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teluk Pasu Ustaz Ridzuan Hashim berkata, pilihan utama adalah dari kalangan OKU yang juga anak yatim.



“Sekiranya tidak ada OKU yang yatim, kita akan memilih OKU daripada golongan yang miskin. Dan pada hari ini kita telah memilih lima orang daripada setiap DUN, daripada 4 kawasan,



“iaitu kawasan Hulu Terengganu, Marang, Kuala Terengganu dan kawasan Kuala Nerus. Jadi jumlah penerima sumbangan pada hari ini ialah seramai 80 orang,”jelasnya.


Beliau berkata, Khairunnisa’ yang dianggotai oleh 55 orang ahli akan meneruskan program seumpamanya, ke kawasan Dungun dan Kemaman.



Beliau menggesa anggota Khairunnisa’ bersatu untuk membantu melaksanakan pelbagai program, khususnya di kawasan-kawasan DUN yang diwakili oleh PAS.


“Jadi itulah perkara yang dapat kita kongsikan hari ini, semoga ahli Khairunnisa’ yang 55 orang ini akan terus bersatu untuk membantu,



“khususnya di kawasan-kawasan yang suami berkhidmat sebagai wakil rakyat,”ujarnya lagi.



Turut sama dalam program tersebut adalah ADUN Bukit Tunggal Dr Alias Razak dan juga ADUN Ladang Datuk Tengku Hassan Tengku Omar.

Ulasan