PAS Akan Serah Sendiri Semua Kutipan Sumbangan Kepada Umat Islam Di Gaza



KUALA TERENGGANU – Atas dasar semangat Islam dan semangat ukhuwah Islamiah maka pihak Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu telah pun melancarkan ‘Tabung Kemanusiaan Gaza’.



Pengarah Jabatan Penegrangan PAS Terengganu, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, PAS prihatin atas apa yang berlaku kepada umat Islam di gaza.



“atas dasar prihatin apa yang berlaku terhadap umat Islam di Gaza, ekoran daripada serangan bertubi-tubi yang dilakukan oleh pihak Israel semenjak sembilan hari yang lalu, yang telah menyaksikan korban lebih 200 orang dan kecerderaan lebih daripada 1000 orang dan juga kemusnahan yang melibatkan rumah lebih daripada ratusan biji buah rumah,



“maka atas dasar semangat Islam dan semangat ukhwah Islamiah maka pihak Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu telah pun melancarkan tabung kemanusiaan Gaza yang bermula daripada hari ini,”ujarnya ketika ditemui semalam.



Katanya, PAS Terengganu menyasarkan untuk mengutip seberapa banyak mungkin, dan meletakkan sasaran sebanyak RM100 ribu sehingga akhir Ramadhan.



“Insya Allah. Namun begitu sasaran yang kita sasarkan lebih kurang RM100, 000 dapat dikutip sepanjang baki sepuluh hari Ramadhan Al-Mubarak ini.



“Dan kita mengarahkan ahli-ahli kita supaya supaya mengeluarkan seberapa banyak infak di peringkat cawangan begitu juga di peringkat masjid-masjid dan surau-surau, kita mengharapkan kerjasama daripada pengerusi-pengerusi, jawatankuasa supaya membuat kutipan daripada Jemaah sepanjang Ramadhan,”jelasnya.



Beliau yang juga Yang DiPertua PAS Kawasan Kuala Terengganu berkata, semua kutipan sumbangan tersebut boleh disalurkan terus ke Tabung Kemanusiaan Gaza.



Katanya, pihak Badan Perhubungan PAS Terengganu akan menyerahkan semua kutipan tersebut ke tangan umat Islam di Palestin.

Beliau yang pernah menjejakkan kaki ke bumi Gaza pada tahun 2012 yang lalu berkata akan terus menyalurkan maklumat dan perkembangan semasa yang sedang berlaku di sana.



“Alhamdulillah kami, menerusi Yayasan Amal Malaysia cawangan Terengganu telah berkesempatan untuk menziarahi Gaza, sewaktu itu semasa pemerintahan Dr. Mohammed Morsi, Presiden Mesir yang membuka seluas-luasnya pintu Rafah untuk memasuki Gaza.



“Dan Alhamdulillah sehingga hari ini, kita masih mempunyai hubungan secara langsung dengan pihak Palestin dan Insya Allah segala maklumat yang kita perolehi daripada sana secara langsung akan kita salurkan terus kepada umat Islam di Terengganu untuk maklumat dan tindakan kita, Insya Allah,”tambahnya.

Ulasan