Pemuda PAS Terengganu Berdiri Teguh Bersama Presiden


KUALA TERENGGANU – Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT) menyokong penuh kenyataan Dato’ Seri Presiden PAS yang dilihat selari dengan pendirian PAS Selangor untuk terus mengekalkan Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar negeri Selangor.



Timbalan Ketuanya YB Ustaz Hishamuddin Abd Karim menyifatkan kenyataan Ustaz Hadi itu telah menyedarkan kembali ahli-ahli PAS dari alpa kerana ‘termakan dakyah media’.



“Kenyataan Presiden ini bertepatan dengan keputusan asal Mesyuarat Lajnah Politik PAS sewaktu tercetusnya ‘Kajang Move’ tempohari.



“Tuan Guru Presiden telah mendidik sikap anggota jemaah agar menghormati setiap keputusan mesyuarat terdahulu selagi belum dikeluarkan keputusan terbaru,”jelasnya



Hishamuddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh berkata, DPPNT kesal dengan sikap sebilangan ahli parti yang menganggap Tuan Guru Presiden mengeluarkan pandangan peribadi dan membelakangi mesyuarat.



“Sebagaimana kekesalan yang sama dirakamkan atas sikap yang tidak konsisten di kalangan pimpinan PKR yang pernah menegaskan tiada pertukaran MB dari rencana Kajang Move.



“Sedangkan situasi semasa yang berlaku kini jauh dari apa yang dipertegaskan dahulu. Justeru, apa sebenarnya matlamat utama Kajang Move?,”soal Hisham.



Oleh itu, beliau berkata, pihaknya berharap agar seluruh kepimpinan dan anggota PAS mendokong kenyataan Tuan Guru Presiden bagi menunjukkan kebersamaan kita dalam sebuah organisasi.



“Mengeluarkan kenyataan yang tidak selari dengan kenyataan Presiden hanya akan melemahkan PAS di mata rakyat yang menilai,



“sekaligus mengurangkan kepercayaan mereka terhadap PR untuk menggantikan BN suatu masa nanti,”ujarnya memberi amaran.

Ulasan