Presiden PAS Selamat Kembali Ke Bumi Darul Iman




KUALA TERENGGANU – Presiden PAS Dato’ Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang, selamat kembali ke bumi Terengganu Darul Iman, Jumaat malam, 4 Julai.


Timbalan Pesuruhjaya (II) PAS Terengganu Haji Yahaya Ali berkata, Ustaz Hadi balik ke kampung halaman di Rusila setelah kira-kira tiga minggu berada di Turki kerana menghadiri persidangan antarabangsa.



“Beliau (kemudiannya) terpaksa menjalani rawatan perubatan di sana setelah jatuh sakit, selepas itu (setelah pulang ke tanah air) beliau berada lebih dari seminggu pula di Kuala Lumpur kerana menerima rawatan lanjutan,”ujarnya.



Beliau berkata demikian ketika ditemui di di Lapangan Terbang Sultan Mahmud kira-kira jam 9.30 malam tadi selepas menyambut ketibaan Ustaz Hadi.



Turut menyambut kepulangan beliau di lapangan terbang bersama pimpinan PAS yang lain termasuk Bendahari PAS Terengganu, M. Shukrimun Shamsuddin dan Penolong Setiausaha Zakaria Dagang.



Menurut Haji Yahaya, walaupun beliau sihat tetapi para doktor pakar yang merawatnya menasihati supaya beliau banyak berehat.



“Beliau tidak boleh terlalu terganggu dengan terlalu banyak aktiviti, pertemuan atau melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti. Bahkan menurut doktor, ubat yang paling mujarab buat masa ini ialah banyak berehat”, ujarnya.



Haji Yahaya, mewakili Badan Perhubungan PAS Terengganu, mengucapkan berbanyak terima kasih kepada semua pihak yang prihatin dan berdoa atas kesihatan Ahli Parlimen Marang itu.



“terima kasih kepada semua pihak yang memberi kerjasama sehingga Dato’ Seri Tuan Guru Presiden selamat sampai ke rumah dan memberi masa yang secukupnya kepada beliau untuk berehat,”tambahnya

Ulasan