ADUN Bukit Payong Rai ‘Perantau’


_DSC3035MARANG – Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri (MTD) Bukit Payong telah meraikan anak-anak qaryah yang merantau keluar dari negeri Terengganu dalam satu majlis, sempena sambutan Eidul Fitri.
Program tahunan tersebut diadakan selepas solat Isyak di perkarangan Madrasah Darul Iman, Titian Baru, telah dihadiri oleh kira-kira 120 orang perantau bersama ahli keluarga mereka.
Adun Bukit Payong yang juga Pengarah MTD, Ustaz Mohd Nor Hamzah serta ahli jawatankuasa MTD turut hadir sebagai tuan rumah bagi memeriahkan lagi majlis itu.


Dalam ucapan alu-aluannya, Ustaz Mohd Nor berkata kumpulan perantau adalah satu kumpulan penting dalam mencorakkan kemenangan sesebuah parti dalam pilihanraya terutamanya kawasan sengit seperti Bukit Payong.
MTD memandang perantau satu kumpulan pembantu dalam PRU yang sangat penting dan akan memperkemaskan lagi pengurusan keatas kumpulan ini.
Beliau mengucapkan jutaan terima kasih atas bantuan yang telah diberikan oleh perantau Bukit Payong yang pada pilihanraya yang lalu, mereka telah menyumbang kepada kemenangan PAS di Bukit Payong.
“Perantau di Bukit Payong telah membantu kejayaan kita mengekalkan kerusi Dun pada PRU yang lalu.
MTD akan memperkukuhkan lagi hubungan dengan saudara-saudari dengan memperkemaskan pengurusan berkaitan perantau.
Saya ucapkan terima kasih atas bantuan saudara-saudari semua,” kata beliau.
Dalam majlis itu juga, MTD telah membuka peluang bagi perantau mengemukakan soalan ataupun cadangan bagi memantapkan lagi kekuatan PAS di Bukit Payong.
Antara cadangan itu ialah menubuhkan kumpulan perantau Bukit Payong yang khusus serta kumpulan rangkaian perhubungan seperti melalui WhatsApp dan juga Telegram bagi memudahkan komunikasi.
Ianya juga bertujuan memberikan maklumat terkini dan terus dari wakil rakyat kepada perantau berkaitan isu-isu semasa dan juga pelbagai maklumat-maklumat lain.
Sebahagian perantau juga mengemukakan soalan-soalan berkaitan masalah-masalah rakyat bagi wakil rakyat membawanya ke sidang Dun akan datang.
Kehadiran perantau kali ini menurut salah seorang Ajk MTD, melebihi jumlah kehadiran tahun lalu yang kira-kira separuh daripada kehadiran tahun ini.
Ini adalah acara tahunan bagi MTD dalam usaha menghargai perantau yang bersusah payah pulang ketika PRU bagi membantu PAS memenangi kerusi Bukit Payong.

Ulasan