Lebih 3000 Serbu Rumah Terbuka DUN Bukit Payong


_DSC3060 (2)MARANG – Dalam masa kira-kira tiga jam Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Bukit Payong diadakan, bermula dari jam 11 pagi hingga jam 2 petang, seramai lebih daripada 3000 orang pengunjung hadir bagi sama-sama memeriahkannya.
Pun begitu, walaupun sudah melebihi jam 2 petang, masih ada lagi kelihatan tetamu yang baru hadir ke majlis tersebut.



Kemeriahannya itu diserikan lagi dengan kehadiran YB Ustaz Mohd Nor Hamzah, Adun Bukit Payong sebagai tuan rumah serta kehadiran tetamu-tetamu jemputan seperti Yang DiPertua PAS Kawasan Marang Haji Yahaya Ali serta Ahli Jawatankuasa PAS Kawasan.
Turut kelihatan hadir ialah bekas Timbalan Mufti Terengganu, Tuan Haji Zainal Abidin, Timbalan Ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS, Encik Jefry Chua dan juga Pengerusi DAP Negeri Terengganu Encik Ng Chai Heng.
Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Bukit Payong telah diadakan pada hari Sabtu 2 Ogos lalu di perkarangan Madrasah Darul Iman, Titian Baru, Kampung Kedai Buloh.
Selain daripada menu utama nasi berlaukkan gulai daging kawah, para tetamu juga dihidangkan dengan hidangan laksa Terengganu, lemang, ketupat serta kuih muih.
Bagi tetamu cilik pula aiskrim turut disediakan untuk mereka selain daripada duit raya yang menjadi hadiah yang ditunggu-tunggu golongan ini.
_DSC3084 (2)Dalam ucapan alu-aluannya, Ustaz Mohd Nor mengucapkan berbanyak terima kasih diatas kehadiran tetamu yang begitu ramai dan terdiri dari pelbagai golongan itu.
Beliau juga turut mengucapkan terima kasih kepada para petugas dari kalangan AJK MTD dan juga penduduk kampung yang bertungkus lumus melakuakan persiapan bagi menjamin perjalanan majlis berjalan lancar.
“Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada tetamu yang hadir ke majlis ini.
Saya juga memohon kemaafan jika ada yang terkurang daripada majlis ini, kerana kadang-kadang kehadiran diluar jangkaan.
Kita telah mencuba sedaya upaya memuaskan hati semua dan kita berharap agar para tetamu berpuashati dengan apa yang kami sediakan.
Saya juga turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang terlibat bagi membantu menjayakan majlis ini, semoga Allah memberikan sebaik-baik balasan,” kata beliau.
Selain daripada hidangan makanan, tetamu turut dipersembahkan dengan persembahan nasyid oleh kumpulan pelajar dari Madrasah Darul Iman.
Tidak dilupakan ketika bergembira meraikan kemeriahan aidilfitri ialah nasib yang menimpa saudara kita seislam di Gaza.
Sehubngan dengan itu, jawatankuasa penganjur juga menyediakan tabung derma bagi membantu saudara kita di Gaza.
Rata-rata petugas yang ditemui melahirkan rasa kepuasan kerana dengan jumlah kehadiran yang begitu ramai membuatkan mereka rasa gembira dan hilang rasa penat melayan tetamu.
Walaupun mungkin ada kekurangan tetapi tetamu memahaminya dan para petugas berjanji akan memperbaiki segala kelemahan dimasa akan datang bagi memuaskan hati para jemputan semaksima mungkin.

Ulasan