Alasan Bodoh Naikkan Harga Minyak; Menteri Sila Letak Jawatan


tuan ibrahimKerajaan Malaysia sekarang ialah kerajaan yang tidak berpijak di bumi yang nyata, dengan memberikan alasan yang dianggap tidak cerdik apabila harga minyak dinaikkan bagi mengula-gulakan rakyat.
Kenyataan-kenyataan itu tidak mencerminkan kehendak majoriti rakyat yang mana sekaligus menggambarkan menteri-menteri ini gagal memahami kesusahan rakyat ketika rakyat bergelut dengan kesusahan.
Begitulah antara komen dari Naib Presiden PAS Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man ketika ditemui sebaik selesai program ceramah Penerangan Isu-Isu Semasa di Pasti al-Iman di Pekan Bukit Payong semalam.


Beliau dengan tegas kemudiannya menyeru kepada para menteri tersebut agar meletak jawatan kerana kegagalan mereka menjaga kepentingan rakyat terbanyak.
“Berhentilah menteri, letak jawatanlah sebagai menteri, sebab kenyataan ini kenyataan yang tidak mencerminkan realiti rakyat.
“Kalau menteri duduk di atas dan mereka naik dengan rakyat, kemudian dia buat kenyataan yang membelakangkan rakyat, saya cadangkan dia letak jawatanlah.
“Dia tak layak jadi menteri, buat kenyataan bodoh macam ni, hingga menimbulkan rakyat rasa kecewa yang mana menteri sepatut (jadi) pelindung dia, sekarang menteri jadi bebanan kepada rakyat,” tegas beliau dalam sinis.
Beliau kemudiannya menasihatkan kepada penduduk luar bandar supaya membuka minda mereka dengan lebih luas lagi agar tidak mudah ditipu oleh kerajaan.
Alasan harga minyak di pasaran duninaik, tidak boleh dijadikan alasan bagi kenaikan ini kerana harga minyak dunia sedang jatuh.
Begitu juga dengan alasan pengurangan subsidi kepada rakyat, sebaliknya kenapa Independent Power Producer (IPP) iaitu syarikat penjana kuasa elektrik masih menikmati subsidi dari kerajaan yang berjumlah berbillion setahun.
Oleh itu kata beliau, secara mudahnya, syarikat-syarikat ini menjana keuntungan hasil dari pemotongan subsidi keatas rakyat.
Tambah beliau lagi, keperitan ini baru permulaan kepada keperitan yang lain kerana sebelum GST dikenakan tahun hadapan, pada hari ini, kita sudah diberikan kenaikan harga barang hasil dari kenaikan harga minyak ini.
Selain daripada harga barang akan naik, kenaikan ini akan turut sama melonjakkan kadar inflasi dan tidak terkecuali kadar masalah sosial dan jenayah akan meningkat, sekali lagi ini akan turut meresahkan rakyat.
Pesuruhjaya PAS Pahang itu kemudiannya menasihatkan kepada semua ahli PAS untuk berhenti dari berperang sesama sendiri yang mana beliau anggap sebagai membawa agenda musuh dalam jemaah.
Ahli-ahli sepatutnya mengambil peluang kenaikan harga minyak ini sebagai titik bagi menyerang Umno dan Barisan Nasional dan bekerja bagi memperkemaskan parti bagi memperjuangkan nasib rakyat.

Ulasan