PAS Selamatkan Manusia


IMG-20140929-WA0089PAS ialah sebuah badan dakwah, tarbiyyah dan juga politik, sebenarnya menumpukan kepada tugas-tugas menyelamatkan manusia melalui agama secara amnya disebalik berperanan sebagai parti politik.
Peranan besar PAS sebagai ejen dakwah itu telah bermula sejak dahulu lagi, sebagai menyambung langkah ulamak-ulamak terdahulu dalam perjalanan dakwah mereka yang panjang dan penuh liku-liku.


Begitulah antara petikan ucapan Pengarah Majlis Tindakan DUN (MTD) Jabi, Dr. Azman Ibrahim sewaktu menyampaikan ucapan alu-aluan sempena Majlis Ilmu bersama muslimat Cawangan Tempinis di Kampung Gong Ubi Keling.
Sambil beliau mengimbau sejarah Surau Tok Seh, tempat berlangsungnya program itu, yang menurut beliau, ianya telah diasaskan oleh cucu kepada pejuang tersohor Terengganu Haji Abdul Rahman Limbung.
“Ulamak-ulamak dahulu jika tinggal di mana-mana, mereka sudah pasti akan mendirikan surau atau masjid sebagai pusat ilmu kerana mereka tahu akan kepentingan ilmu bagi mendidik masyarakat.
Cucu kepada almarhum Haji Abdul Rahman Limbung datang ke sini dan mendirikan surau ini, serta telaganya juga masih yang asal,” ujar beliau mengimbas kembali sejarah surau tersebut.
Manakala undi pula, menurut beliau adalah perkara yang juga penting tetapi kepentingan kepada membina agama di dalam diri rakyat lebih diutamakan agar menjadi pelindung daripada kepedihan api neraka.
Berbeza dengan Umno yang sentiasa mementingkan undi dan hal dunia sahaja sehinggakan ada yang sanggup memberikan benda yang tidak sepatutnya kepada remaja-remaja semata-mata kerana mahukan undi.
“Nak buat macamana, sistem undi kita ni kira satu rakyat, satu undi. Undi tok lebai sama dengan undin hok jalan senget (golongan bermasalah).
Umno ni tak kira, asalkan boleh undi saja, mereka tak peduli yang lain,” kata beliau.
Dr Azman juga turut memberi contoh berkenaan harga getah yang merudum yang menyebabkan keperitan hidup yang melampau kepada penoreh-penoreh getah lebih-lebih lagi kepada mereka yang menyewa getah orang lain.
Menurut beliau lagi, seorang ahli Umno yang bernasib malang itu yang ditemui beliau, masih kukuh menyokong Umno walaupun tiada pimpinan Umno yang menziarahinya apatah lagi membantunya sedangkan ada pimpinan Umno yang hidup mewah bertukar-tukar kereta.
Justeru Dr Azman menasihatkan agar muslimat peka kepada isu-isu semasa supaya mereka tidak mudah ditipu oleh golongan yang berniat serong terhadap mereka.
Majlis ilmu itu turut dihadiri oleh Ketua Penerangan Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu Ustaz Mohd Nor Hamzah sebagai penceramah jemputan.
Dalam ucapannya, beliau menyeru kepada muslimat terutama di luar bandar agar peka kepada isu politik supaya mereka faham bahawa, amanah yang mereka berikan melalui undi itulah yang mencorak kehidupan mereka.
Beliau yang juga wakil rakyat Dun Bukit Payong seterusnya memberi penerangan berkenaan hal yang berlaku dan dibincangkan di dalam Dewan Undangan Negeri yang baru sahaja tamat persidangannya minggu lalu.

Ulasan