Pendidikan Menghancurkan Kejahilan

KUALA NERUS – Parti Islam SeMalaysia (PAS) amat mengambil berat soal pendidikan dan tarbiyah bagi membina manusia serta menghancurkan jahiliah.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata perjuangan Islam PAS bagi membina generasi manusia yang mengikut kehendak Allah SWT.



Oleh itu, kata beliau, PAS sejak dari awal lagi telah terlibat dengan alam pendidikkan bagi mendidik manusia, kerana hanya dengan pendidikan, mampu menghancurkan kejahilan manusia.

“Perjuangan kita (PAS) hendak bina manusia dan perjuangan hendak memanusiakan manusia.
“Kerja tarbiyah hendak bina masyarakat ini kerja Nabi SAW. Jahiliyah hanya boleh dihancurkan dengan pendidikan. Pendidikan itu menghancurkan jahiliyah.

“Jika hari ini bapanya masih lagi jahiliyah, anak dia nanti bakal menjadi orang yang boleh buang jahiliyah kerana tarbiyah,” ujarnya ketika berucap pada Majlis Hi-tea Dana Pembangunan Pusat Tarbiyah Dewan Undangan Negeri (Dun) Seberang Takir di Kampung Duyung, dekat sini, Sabtu 25 Oktober.

Beliau yang juga Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat mengajak umat Islam sama-sama membangunkan pusat tarbiyah yang sedang diusahakan oleh parti ini.

Katanya, pusat tarbiyah dan pendidikan itu amat penting bagi melahirkan generasi manusia yang baik.

“Ini kerana, pendidikan itu hendak membina manusia. Jadi projek kita (PAS) ini adalah projek hendak bina manusia di Dun Seberang Takir secara khususnya.

“Kita harap pada suatu saat nanti kita (PAS) akan ada sekolah rendah untuk kita ‘cover’ sekitar kawasan kita, yang nanti untuk generasi akan datang. Seberang Takir ini yang dikatakan liat untuk kita (PAS) menang tetapi Insya’Allah… kita (PAS) boleh menang hasil dari kerja tarbiyah yang kita buat.

“Saya yakin semua jawatankuasa MTD (Majlis Tindakan Dun) bekerja keras seperti (buat) gempur pemilih (SPR) untuk mencapai kemenangan.

“Mungkin kerja kita pada zahirnya hendak dapat (menang) itu tidak mudah, tetapi Allah Yang Maha Melihat kesungguhan kita, keinginan kita dan gerak kerja kita (PAS).

“Maka, Allah boleh beri kemenangan kepada kita (PAS) dan itu bukan perkara yang pelik,” jelasnya dihadapan lebih 200 orang hadirin.

Sempena majlis tersebut orang ramai turut menghulurkan sumbangan dan derma kilat yang berjumlah lebih RM4,000 berjaya dikumpulkan.

Ulasan