Empat Motosikal Dicuri Sehari, Kes Rogol Meningkat Di Besut


jenayah terengganuKUALA TERENGGANU – Walaupun indeks kejadian jenayah di seluruh negeri Terengganu dilaporkan turun pada tahun lalu, namun jumlah kecurian motosikal dan jenayah rogol masih membimbangkan.
Kes kecurian motosikal mencatatkan indeks jenayah tertinggi di daerah Kuala Terengganu dan kes rogol meningkat di Besut sejak sepuluh bulan yang lalu.
Purata sebanyak tiga hingga empat kes kecurian motosikal berlaku setiap hari walaupun peratusan kes itu dilaporkan menurun.


Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Idris Abd Rafar berkata, kes itu penyumbang tertinggi jenayah di daerah ini diikuti kes pecah rumah.
Menurutnya, kegagalan pemilik motosikal menggunakan kunci pendua atau kunci tambahan antara faktor yang dikenal pasti antara punca menyebabkan kes kecurian motosikal di negeri ini meningkat.
“Kebanyakan kes kecurian motosikal ini berlaku di kawasan perumahan dan di hadapan rumah sahaja kerana kegagalan pemilik memasang kunci tambahan kepada kenderaan mereka.
“Tanggungjawab dan kesedaran pemilik berkaitan kepentingan menggunakan kunci tambahan ini pastinya dapat mengurangkan risiko kenderaan mereka dicuri kerana berdasarkan kebanyakan kes sebelum ini, ia berpunca kerana tiadanya kunci pendua dilekatkan,” katanya kepada pemberita, dipetik Sinar Harian.
Sementara itu, statistik menunjukkan peningkatan sebanyak satu kes di Besut, atau 5.9 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Wan Abd Aziz Wan Hamzah berkata, sebanyak 18 kes rogol dilaporkan bermula Januari sehingga Oktober lalu berbanding hanya 17 kes bagi tempoh sama tahun lalu.
Menurutnya, statistik itu menunjukkan Besut berada di tempat kedua tertinggi bagi kes tersebut di negeri ini selepas Kuala Terengganu yang merekodkan 23 kes berbanding 18 kes tahun lalu.
“Bagaimanapun statistik bagi kes berkenaan yang dilaporkan di seluruh negeri ini menunjukkan penurunan iaitu hanya 98 kes berbanding 111 kes bagi tempoh sama tahun lalu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan penutup Seminar ‘Manisnya Menjadi Gadis’ di bawah Program Kempen Kesedaran Wanita (WAC) 2014 di SMK Tengku Mahmud II.

Ulasan