Audit Cawangan, Gerak Kerja Kerana Allah


mohd nor hamzah1MARANG – Majlis Tindakan DUN (MTD) Bukit Payong mengambil langkah proaktif bagi mendepani cabaran pilihanraya umum ke-14 dengan mengadakan program audit cawangan-cawangan PAS yang berada dalam Dun Bukit Payong.
Program audit ini menunjukkan kesungguhan PAS Dun Bukit Payong untuk mengekalkan malah meraih lebih banyak sokongan daripada masyarakat dalam membawa Terengganu ke arah memartabatkan pemerintahan Islam.


Dalam program audit itu, MTD mahu melihat sejauh manakah tindakan-tindakan tahun 2014 yang telah berjaya dilakukan dan juga yang gagal serta keperluan bedah siasat keatasnya termasuk juga perancangan tahun 2015.
Program dibawah Lajnah Pemerkasaan Parti Dun itu turut menekankan pencapaian sasaran daftar pemilih terutamanya anak-anak ahli PAS, tabung kewangan dan penerangan isu-isu oleh cawangan-cawangan.
Pengarah MTD, YB Ustaz Mohd Nor Hamzah menyeru agar cawangan-cawangan lebih proaktif terutama dalam kerja kebajikan bagi memperlihatkan keindahan Islam iaitu sentiasa mengutamakan kebajikan.
Sikap ini juga sekaligus menunjukkan kesungguhan PAS sebagai sebuah kerajaan menanti dengan tidak mengharapkan bantuan kerajaan semata-mata yang akhirnya menaikkan imej PAS itu sendiri dan juga Islam.
Akan tetapi lebih dari itu, sikap membantu ini pastinya akan mendapat pahala dari Allah, membezakan PAS dari kumpulan lain yang tidak mengambil dosa pahala sebagai matlamat perjuangan mereka.
“Saya harap semua cawangan mengambil sikap proaktif dengan melakukan kerja-kerja kebajikan secara berterusan dan tidak hanya ketika musim PRU sahaja.
Kita sebagai jemaah Islam sepatutnya merasa senang dengan kerja-kerja begini sebab kita pasti akan dapat pahala, berbeza dengan kumpulan lain.
Jangan harap sangat kerajaan, buat dahulu apa yang kita mampu, nanti masyarakat akan melihat kekuatan kita, kesungguhan kita sebagai jemaah Islam menjadi kerajaan menanti,” ujar beliau.
Justeru itu, tambah beliau lagi, semangat ahli-ahli cawangan perlu dinaikkan bagi memulakan gerak kerja bermula sekarang.
Bagi beliau yang juga Adun Bukit Payong, biar masyarkat menyokong PAS bukan kerana beliau atau sesiapa tetapi kerana PAS itu ialah PAS, iaitu jemaah Islam tulen yang mempunyai akhlak yang baik yang dizahirkan oleh ahli-ahlinya.

Ulasan