Aura Ungu Pada Nisa’ ‘Ladies Day’


IMG-20141207-WA0087KUALA TERENGGANU – CERIA, ELEGAN DAN ISLAMIK. Itulah tema dan tarikan yang ditonjolkan dalam program julung kali Nisa’ Negeri Terengganu iaitu ‘Nisa Ladies Day’ pada Sabtu, 6 Disember yang lepas.
Suasana yang penuh warna warni di Dewan Ghurfah Marwah, Taman Tamadun Islam (TTI) itu menggambarkan kemesraan dan keceriaan pihak penganjur bagi memikat hati para pengunjung yang hadir yang terdiri daripada perempuan sahaja.


Antara objektif program ini adalah untuk menarik anak muda perempuan untuk mengenali Nisa’ dengan lebih dekat. Selain itu, daripada program ini jugalah bakat terpendam mereka ditampilkan dengan pertandingan Suara Nisa’, Pesona Nisa’ dan Dekorasi Kek.
Penyertaan pertandingan amat memberangsangkan daripada kesemua daerah, termasuk para penonton dan penyokong yang hadir memberi sokongan.
IMG-20141207-WA0092“Islam tidak menghalang kita untuk berhibur dan bersosial selagi ianya masih memenuhi kehendak syariat”, ujar Pengerusi Nisa’ Terengganu, Puan Mariam Solehah Mohamad ketika menyampaikan ucapannya semasa majlis perasmian.
“Saya amat gembira dengan kehadiran yang begitu memberangsangkan pada hari ini, yang memberi sokongan kepada kami. Hari ini kita hadir bukan semata-mata untuk menang bertanding,
tetapi ambillah peluang ini untuk menjalinkan silaturrahim dan bersama Nisa’ lagi selepas ini”, ujar beliau lagi.
Beliau juga begitu bersemangat menginginkan agar Nisa’ dapat melebarkan ‘aura ungu’ mereka untuk berdakwah dan mengajak pemudi untuk menyertai mereka dan mengenali syariat Islam yang sebenarnya.
Suara Nisa’ iaitu pertandingan nyanyian serta Dekorasi Kek berjaya menghimpunkan 8 kumpulan masing-masing untuk bertanding. Bagi kategori Pesona Nisa’ iaitu fesyen pula melibatkan 16 orang peserta yang menggayakan fesyen masing-masing.
Kesemua peserta merupakan yang terbaik mewakili setiap daerah.
Selain pertandingan tersebut, turut diadakan pameran Nisa’ dan gerai jualan. Pelbagai aktiviti menarik yang diadakan di booth pameran, seperti sesi bergambar, permainan dan kuiz. Hadiah menarik menanti pengunjung yang bertuah.
Kehadiran yang dianggarkan melebihi 200 orang itu turut dihadiri oleh para jemputan yang terdiri daripada beberapa NGO di sekitar Terengganu ini.
Diharapkan agar Nisa’ Terengganu dapat menarik lebih ramai anak muda perempuan menyertai mereka melalui dakwah yang kontemporari dan kreatif.

Ulasan