Cikgu Alias Bersyukur Kerana Semuanya Selamat


20141225_134238DUNGUN – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Cikgu Alias Harun bersama tiga petugas PAS lain yang nyaris lemas ketika menaiki bot bagi menghantar bantuan kepada mangsa banjir, mengucapkan syukur kerana semuanya selamat.
Menurutnya, kejadian itu berlaku apabila bot yang dinaikinya terbalik ketika dalam perjalanan membuat tinjauan serta menyampaikan bantuan bekalan banjir kepada penduduk di Kampung Delong, dekat sini.


20141225_132123 (2)Beliau menyifatkan kejadian tersebut sebagai satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan.
Katanya, kejadian bot terbalik itu lebih menguatkan semangat petugas PAS bagi membantu rakyat yang dalam kesusahan.
“Itu (kejadian) bot terbalik biasa sahaja walau pun jarang berlaku kepada saya (wakil rakyat). Saya dan rakan-rakan (petugas) lain tidak panik kerana kami ada pakai jaket keselamatan.
“Lagi pun, itu (tempat) di kawasan paya dan bukan di sungai seperti kejadian bot terbalik yang menimpa sepasang suami isteri di Kampung Geliga Che Akob, Chukai Kemaman.
bot cikgu alias terbalik“Saya bersyukur kerana tidak ada kejadian yang tidak diingini berlaku dan kami semua selamat, Insya’Allah,” jelasnya ketika dihubungi hari ini, 30 Disember lalu.
Beliau berkata, ketika kejadian bantuan perlu dihantar kepada 25 buah keluarga mangsa banjir yang terkepung air tetapi tidak berpindah ke pusat pemindahan.
Katanya, sebagai wakil rakyat setiap hari mengikuti aktiviti para petugas sukarelawan PAS menghantar bekalan makanan kepada mangsa banjir termasuk di pusat pemindahannya.
Seorang mangsa lain, Wan Kasli Wan Ali berkata kejadian itu berlaku terlalu pantas dan bersyukur tidak ada kemalangan jiwa.
Menurutnya, kesemua mangsa terbabit termasuk Cikgu Alias memakai jaket keselamatan dengan baik.
“Alhamdulillah, kami semua termasuk Yang Berhormat Cikgu Alias memakai jaket keselamatan dan kami tidak panik. Semasa air masuk ke dalam bot dan terbalik kami sempat berpaut pada bot,” jelasnya.
Menurut saksi di tempat kejadian, sejurus bot yang dinaiki oleh Adun Rantau Abang itu terbalik, sebuah bot lain yang turut mengiringi rombongan itu segera menyelamatkan mangsanya.

Ulasan