11 Disember 2014

Tanaman Jagung Kuala Ping RM RM2.05 juta Rugi


jagung kuala pingKUALA TERENGGANU – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manir, Hilmi Datuk Harun mengajukan soalan berhubungan dengan projek Terengganu Agrotech Developmen Corporation (TADC) yang telah memberhentikan Projek Tanaman Jagung di Kuala Ping, Hulu Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa (Exco) Pertanian & Industri Asas Tani Dan Perusahaan Perladangan & Komoditi Nawi Bin Mohamad berkata projek tersebut ditamatkan kerana hasilnya tidak memuaskan.


“Pihak TADC memberhentikan projek tanaman jagung di Kuala Ping kerana hasil pengeluaran yang tidak memuaskan.
“Itulah antara sebab utama mengapa projek tanaman jagung di Kuala Ping diberhentikan oleh TADC,”ujarnya pada Sidang DUN, Rabu 10 Disember.
Untuk soalan tambahan, Hilmi mempertikaikan projek tersebut kerana menurutnya,tanah yang digunakan itu telah digazetkan sebagai padang ragut bagi haiwan ternakan.
Beliau yang juga Bendahari Dewan Pemuda PAS negeri Terengganu menyanggah keluasan yang dinyatakan oleh Exco terbabit kerana katanya, Laporan Ketua Audit Negara 2013 menyebut jumlah keluasan yang ditanam jagung adalah 45 ekar.
Sebaliknya, Nawi berkata jumlahnya adalah 24 hektar (60 ekar).
“Kalau di sini tengok buku (Laporan Ketua) Audit negara ini, menyatakan bahawa 45 ekar, tadi dia kata 24 hektar . Jadi saya tak tahu………24 hektar dengan 45 ekar ni jauh berbeza,”ujar Hilmi.
Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2013, Projek Jagung Kuala Ping adalah satu projek TADC yang dienarai sebagai sebuah projek yang gagal.
Kerajaan Negeri telah menyediakan peruntukan sejumlah RM1.57 juta untuk projek tanaman jagung secara berperingkat di atas tanah padang ragut seluas 60 ekar.
Projek diberi secara rundingan terus kepada TADC dengan tarikh milik tapak pada 2 Ogos 2009 dengan mengambil kira tempoh kontrak selama 3½ bulan sehingga 17 Disember 2009.
Kawasan projek tersebut dibahagikan kepada 45 ekar untuk kawasanpenanaman dan 15 ekar untuk kawasan kemudahan infrastruktur seperti kolam takungan air, pejabat, stor baja dan garaj traktor.
Hasil tuaian dijangkakan sebanyak 10,000 tongkol seekar/musim akan diperoleh dengan 2 musim dalam masa setahun.
Bagi melaksanakan penanaman jagung hibrid, pihak syarikat swasta bersetuju menjadi rakan kongsi dengan TADC dalam menjayakan dan memasarkan produk dari keluaran projek tanaman jagung hibrid.
Semakan Audit mendapati TADC telah berbelanja sejumlah RM2.05 juta untuk membiayai keseluruhan projek yang terdiri daripada perbelanjaan menyediakan infrastruktur/peralatan sejumlah RM1.42 juta dan pembelian traktor sejumlah RM623,370.
Projek tanaman jagung itu hanya berjaya dilakukan hanya 3 musim sahaja.
Kerja penanaman pada pusingan pertama dimulakan pada bulan Julai 2009 melibatkan kawasan seluas 20 ekar dan 2 musim pada tahun 2010 iaitu musim pertama seluas 45 ekar dan musim kedua seluas 40 ekar.
Hasil pengeluaran jagung yang diperoleh pada 3 musim yang telah diusahakan didapati tidak menepati sasaran yang ditetapkan.
Memandangkan projek ini tidak ekonomi dijalankan disebabkan potensi pengeluaran tidak mencapai sasaran, Mesyuarat Lembaga Pengarah Kali Ke 33-4/2011 bertarikh 25 Julai 2011 bersetuju supaya pembekalan jagung kepada pihak syarikat swasta berkenaan ditamatkan dan operasi tanaman jagung dihentikan.

Tiada ulasan:

Laman BO Masih Dalam Penyelenggaraan

KUALA TERENGGANU - Laman sesawang rasmi PAS Terengganu www.buletinonline.net (BO) masih dalam penyelenggaraan ekoran masalah teknikal y...