Beri Keutamaan Kepada Mangsa Banjir Setempat Dahulu


IMG-20141230-WA0052KUALA TERENGGANU – Pengarah Operasi Banjir PAS Kawasan Kemaman, Haji Zulkili Md Yakim menyeru PAS Kawasan-kawasan di negeri Terengganu untuk memberi keutamaan kepada mangsa-mangsa banjir setempat terlebih dahulu.
Beliau berkata, walaupun banjir di negeri Kelantan adalah lebih teruk dari yang berlaku di negeri Terengganu namun mereka tetap memerlukan bantuan.


“kita tahu mangsa banjir di Kelantan lebih teruk dari kita…………namun keutamaan pada mangsa setempat tidak semestinya di abaikan, perlu diselesaikan terlebih dulu,
“kerana mereka juga memerlukan bantuan kita,”ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan taklimat kepada peserta misi bantuan dari PAS Kuala Terengganu di sini pada Selasa 30 Disember.
Rombongan tersebut yang turut disertai oleh 20 petugas Muslimat itu, diketuai oleh Yang DiPertuanya Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah.
Turut sama adalah mantan Pesuruhjaya PAS Terengganu yang juga ADUN Wakaf Mempelam Haji Mohd Abdul Wahid Endut dan Setiausaha PAS Kuala Terengganu, Ustaz Mohd Soud Said.
PAS Kuala Terengganu telah menghantar 16 buah kenderaan pacuan empat roda (4WD) dan sebuah van untuk menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir ke daerah Kemaman.
Sehubungan itu, ‘konvoi’ tersebut telah menziarahi penduduk yang terlibat dengan banjir di kawasan Bukit Mentok, Kampung Tempurong dan Mak Cili serta mengagih-agihkan bantuan kepada mereka.
Seorang mangsa yang ditemui menceritakan pengalaman mereka dilanda bah pada tahun ini, yang dianggapnya, lebih ‘ringan’ dari tahun lalu.
Puan Haslina Ahmad berkata, walaupun air banjir lebih cetek berbanding tahun sebelum ini, tetapi mereka terpaksa bergelap tanpa elektrik selama tiga hari.
“walaupun paras air tahun ini tidak sedalam tahun lepas namun kami bergelap selama 3 hari dan bantuan juga lambat sampai,”katanya ketika ditemui.
Beliau yang bertugas sebagai seorang jururawat yang tinggal bersama bersama suami dan dua anaknya di rumah kakitangan kerajaan di Kampung Mak Chili.
Beliau bernasib baik kerana dapat menumpang di rumah ibunya d Kampung Geliga, ketika banjir tersebut melanda kawasan perumahan tersebut.
Sementara itu, Haji Wahid yang juga ADUN Wakaf Mempelam berkata pihaknya uga akan menghantar bantuan ke negeri Kelantan bagi bersama merasai kesusahan yang dialami oleh rakyat negeri tersebut.
Namun, kata beliau, ia akan dilaksanakan setelah tanggungjawab membantu warga setempat diselesaikan.
“kita akan tetap bantu Kelantan……….tapi yang terjejas ditempat kita perlu kita selesaikan keperluan mereka (terlebih dahulu),
“adalah tidak adil mengabaikan mereka semata-mata membantu mangsa yang jauh,”tambahnya ucapan ringkas sebelum penyerahan bantuan.

Ulasan