31 Januari 2015

Harapan Memerintah Terengganu Kali Ketiga


IMG-20150130-WA0133KUALA NERUS – PAS Terengganu menaruh harapan tinggi kepada rakyat agar bersedia mengulangi sejarah lampau memberi mandat bagi memerintah negeri buat kali ketiga pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, akan datang.
Pesuruhjaya PAS Terengganu, Ustaz Satiful Bahri Mamat berkata perjuangan PAS bagi menggantikan tampuk pemerintahan negeri dari Umno dan Barisan Nasional (BN) serta mendaulatkan syariat Islam.
Justeru, katanya Himpunan Harapan Semua (HARAP) 3.1 ini merupakan kesinambungan dari program PAS Ganti Umno (PGU), yang telah sinonim dengan rakyat di negeri ini.


“Program HARAP 3.1 ini merupakan harapan rakyat buat kali ketiga untuk kembali memerintah Terengganu. Pada tahun 1959, rakyat telah memberi kepercayaan kepada Parti Islam Se-Malaysia (PAS) memerintah kali yang pertama.
“Pada kali kedua, tahun 1999 dan rakyat sekali lagi memberi kepercayaan kepada PAS untuk memerintah Terengganu, dan kita (Terengganu) dipimpin oleh Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, selaku Menteri Besar Terengganu ketika itu.
“Hari ini, kita (PAS) meletakkan harapan rakyat sekali lagi dapat digemblengkan untuk meletakkan PAS dan Pakatan Rakyat untuk memerintah Terengganu pada kali yang ketiga, pada PRU14…Insya’Allah,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Himpunan Harapan Semua (HARAP) 3.1 di Kampung Telaga Daing, Seberang Takir, Kuala Nerus, malam tadi.
Himpunan tersebut telah disempurnakan majlis perasminya oleh Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.
Ustaz Satiful Bahri turut menjelaskan bahawa kerajaan Umno-BN yang memerintah Terengganu selepas PRU13 lalu hanya dengan kelebihan dua kerusi sahaja.
“Alhamdulillah, pada PRU13 yang lalu. Kita (PAS) mendapat lonjakan sehingga 15 kerusi Dun dan Umno-BN pula 17 kerusi Dun di Terengganu.
“Satu kerusi lagi kita (PAS) jadi “seri” iaitu 16-16 kerusi. Jika dua kerusi, kita (PAS) akan memerintah. Jadi Umno-BN memerintah negeri Terengganu sekarang dengan kelebihan dua kerusi sahaja,” jelasnya dihadapan ribuan hadirin.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paka mendakwa himpunan HARAP 3.1 memilih Dun Seberang Takir kerana satu-satunya Dun ‘tunggal’ yang masih lagi dikuasai oleh Umno-BN di Kuala Nerus.
“Kita sengaja memilih Seberang Takir kerana inilah satu-satunya Dun yang masih lagi sisa-sisa, baki-baki dari kalangan yang memberi sokongan dan kepercayaan kepada Umno-BN.
“Kita (PAS) berjaya merampas empat Dun dan satu parlimen di Kuala Terengganu, dan kita juga berjaya untuk merampas tiga Dun dan satu parlimen di Kuala Nerus, dan tinggal lagi satu Dun Seberang Takir.
“Di Dun (Seberang Takir) ini, Menteri Besarnya (Ahmad Razif) ada di Seberang Takir ini yang mengetuai kerajaan BN Terengganu,” ujarnya.
Selain itu, Pesuruhjaya PAS Terengganu juga bimbang dengan Transformasi Terengganu Baru (TTB) yang dicanangkan oleh Dato’ Ahmad Razif tersebut.
“Kita (PAS) bimbang program TTB(Transformasi Terengganu Baru) akan menjadikan Terengganu kena penyakit ‘TB’. Terengganu duit banyak tetapi tidak tahu sampai kepada rakyat, sampai kepada masyarakat atau tidak.
“Terengganu juga masih lagi negeri keempat miskin tegar di Malaysia. Terengganu berturut-turut dan berbelas tahun meluluskan bajet negeri melebihi RM2 bilion dan yang terbaru (2015) lulus RM2.73 bilion.
“Ini (bajet) mengatasi Pulau Pinang RM700 juta, mengatasi negeri Kelantan RM601 juta sahaja dan ditambah dengan hutang negara juga sudah mencecah lebih RM500 bilion,” tegasnya.

Tiada ulasan:

Islam dan Hukum Syarak Tidak Mengikat Mahkamah Sivil Dalam Isu Islam?

Keputusan Mahkamah Rayuan mengenai kesahan meletakkan bin bagi anak tidak sah taraf kepada bapa biologi anak tersebut menimbulkan polemik...