Lesen Perniagaan Naik 300 – 700%, Membebankan dan Melampau


Kamarul Bahrin bincang peniagaKUALA TERENGGANU – Kenaikan mendadak bayaran lesen perniagaan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) antara 300 hingga 700 peratus, sejak 25 Januari lalu mengejutkan para peniaga terbabit di kawasan ini.
Menurut Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Dato’ Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Shah, beliau dimaklumkan oleh para peniaga tersebut, peningkatan kadar itu akan memberi kesan besar terutama peniaga-peniaga kecil.


Katanya, peningkatan mendadak dan tinggi yang ‘melampau’ itu akan membebankan mereka dan menggesa agar kerajaan negeri terutama MBKT, mengkaji semula kesan dari kenaikan lesen perniagaan itu atas beberapa faktor.
Katanya, kejatuhan teruk nilai Ringgit Malaysia dengan mata wang dunia ditahap RM3.6 perUSD (Dollar Amerika) dan RM2.7 dengan Singapura Dollar.
Ditambah lagi, menurutnya dengan perlaksanaan cukai menyeluruh GST bermula 1 April 2015 in sebanyak enam peratus yang mengakibatkan kesan besar kepada para peniaga tempatan.
kamarul bahrin lesen1“Kejatuhan harga minyak dunia dari USD110 kepada USD50 itu akan menjejaskan wang perbelanjaan kerajaan dan menjejaskan ekonomi awam, dan Terengganu sendiri bergantung 90 peratus bajet negeri kepada hasil minyak.
“Suasana ekonomi negeri (Terengganu) yang muram di mana para peniaga tempatan mengalami penurunan antara 30 hingga 50 peratus.
“Kadar Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Terengganu yang lemah tidak memberi justifikasi kerana kenaikan harga lesen yang begitu tinggi akan membebankan pihak peniaga,” ujarnya pada satu sidang media di Pejabat Ahli Parlimen Kuala Terengganu, dekat sini, 29 Januari lalu.
Selain itu, kata beliau, kenaikan kos elektrik dan minyak pada tahun lepas masih lagi menyebabkan para peniaganya menanggung kos pengangkutan dan operasi yang membebankan.
Dato’ Raja Kamarul Bahrin turut mendesak agar kerajaan negeri di bawah kepimpinan Umno dan Barisan Nasional (BN) menangguhkan kenaikan lesen perniagaan yang begitu tinggi itu.
Katanya, peranaan sesebuah kerajaan yang baik itu adalah membantu rakyat dan bukan membebankan rakyat.
peniaga kecil kuala terengganu“Saya membawa suara rakyat (di bawah), dan atas sebab-sebab (di atas), masyarakat umum merayu kepada kerajaan supaya dapat menangguh kenaikan lesen perniagaan yang begitu tinggi.
“Peranan kerajaan adalah untuk membantu rakyat dan bukan membebankan mereka yang sudah mengalami pelbagai masalah kewangan dan tekanan.
“(dan) Sebagai Ahli Parlimen Kuala Terengganu, di mana pusat perniagaan dan pentadbiran negeri Terengganu (berada) di sini. Saya merayu bagi pihak rakyat supaya kerajaan lebih peka atas penderitaan mereka,” ujarnya dengan penuh harapan.
Beliau mahukan agar kebajikan rakyat mesti didahulukan dan pengorbanan pihak kerajaan juga diperlukan disaat-saat negara menghadapi masalah ketidaktentuan ekonominya.
Mengimbas kembali Bajet negeri Terengganu 2015, yang diluluskan sebanyak RM2.4 bilion bagi rakyat berjumlah 1 juta orang itu terlalu tinggi berbanding Selangor sebanyak RM1.5 bilion untuk enam juta orang penduduknya.

Ulasan