23 Februari 2015

Pasar Besar Kedai Payang Perlu Ditambahbaik


20150223_095500KUALA TERENGGANU – Setiap kali musim cuti sekolah mahupun cuti perayaan, laluan ke Pasar Besar Kedai Payang di sini pasti sesak teruk dipenuhi kenderaan dan orang ramai yang mahu membeli-belah.
Tinjauan di sekitar pasar berkenaan mendapati jalan utama ke pasar berkenaan sesak lebih satu kilometer akibat limpahan pengunjung serta pelancong dari luar negeri serta anak tempatan yang pulang ke kampung.


20150223_093644Seorang pengunjung dari Shah Alam, Norsahida Ramlan, 26, berkata beliau yang pertama kali berkunjung ke pasar itu berasa kurang selesa apabila terpaksa berhadapan dengan kesesakan lalu lintas untuk ke pasar itu.
“Jalan sesak dengan kenderaan bila ada pengunjung yang berhenti di depan pasar dan ada pengunjung yang parking kereta merata-rata sebab parking agak payah nak dapat. Jalan jadi sempit dan itu yang menyebabkan jalan sesak, memang agak rimaslah, tapi sebab nak dapat barang-barang dengan harga lebih murah, saya pergi jugalah,” katanyadilaporkan Bernama.
20150223_093616Bagi Mohd Alimie Faris, 35, anak jati Terengganu yang kini bermastautin di Johor Baharu, prasarana di Pasar Payang yang sudah menjadi tempat kunjungan wajib sesiapa sahaja ke negeri ini perlu dinaik taraf sesuai dengan perubahan zaman.
“Pasar ni dari dulu lagi macam ni, sepatutnya sudah ada sedikit sebanyak penambahbaikan untuk keselesaan pengunjung seperti penyaman udara dan pasar yang lebih luas sebab kat bahagian atas, terutamanya bahagian kain dan sutera, sangat panas dan lorongnya agak sempit hingga menyebabkan kami terpaksa berasak-asak dan memang tak selesa.
“Ada juga beberapa siling yang bocor dan air keluar dari siling berkenaan. Ini sepatutnya diperbaiki dan saya harap Majlis Bandaraya Kuala Terengganu atau pihak berkuasa lain ambillah pertimbangan segera,” kata Mohd Alimie.
20150223_093605Seorang kakitangan awam, Syaza Azimah Roselan, 43, dari Perak, berkata beliau dan keluarganya berkunjung ke pasar berkenaan bersempena cuti sambutan Tahun Baharu Cina untuk membeli barang-barang dengan harga lebih rendah.
“Kat sini, harga barang-barang boleh dikira murahlah. Kain sutera berkualiti tinggi boleh diperoleh pada harga RM280 hingga RM350… kalau tempat lain memang tak boleh dapat dengan harga ni.
“Kak dah dua tiga kali datang ke pasar ni bila berkunjung ke negeri ini, memang agak tidak selesa sebenarnya dengan keadaan yang sesak, tapi nak buat macam mana, sebab nak membeli, terpaksalah tahan dengan semua ni,” katanya.
Justeru beliau berharap pihak berkuasa tempatan memikirkan kaedah terbaik dan menyediakan ruangan kawasan meletak kenderaan yang teratur supaya tidak berlaku kesesakan yang teruk di kawasan tumpuan itu pada masa akan datang.

Tiada ulasan:

Cadangan Bajet Malaysia 2018