20 Mac 2015

Bawa Islam ke Putrajaya

_DSC0101 (2)
MARANG –  Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyeru kepada rakyat khususnya masyarakat umat Islam di negara ini agar dapat bersama membawa Islam ke Putrajaya.
Ini kerana, katanya masyarakat majmuk tidak boleh menyelamatkan Malaysia melainkan dengan Islam.
“Oleh kerana itu, dalam himpunan ini saya menyeru mari kita membawa Islam ke Putrajaya untuk menguasai dan menunjukkan Islam.


kam3159(a)-ijtima1“Di Malaysia, kita mengalami kelemahan meninggalkan Islam berlalu lebih satu abad setelah mencapai kemerdekaan. Percayalah, kita tidak boleh menyelamatkan Malaysia masyarakat majmuk melainkan dengan Islam,” tegasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Ijtima’ Antarabangsa Perpaduan Ummah Kali Ke-3, di Dewan Tok Guru Masjid Rusila, Marang pada Jumaat 20 Mac.
Turut berucap sebelum itu, Pegawai Perhubungan Hamas, Syeikh Mahmud Nazzal dan Pengerusi Jawatankuasa Induk Ijtimak, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man.
Dato’ Seri Abdul Hadi yang juga Naib Ketua Kesatuan Ulama’ Islam Sedunia turut mengajak umat seluruhnya memadamkan ‘Islamfobia’ tajaan barat.
Menurutnya, barat telah memberikan gambaran yang salah tanpa melihat hakikat terhadap ajaran Islam itu sendiri.
_DSC0115 (2)“Kita (umat Islam) perlu memadamkan Islamfobia yang dianjurkan oleh barat, yang menggambarkan Islam dengan gambaran yang salah. Tidak melihat pada hakikat ajaran Islam itu sendiri.
“Hanya melihat kepada pemimpin-pemimpin negara yang mewarisi zaman penjajahan. Yang memerintah tidak mengikut syariat Islam. Kita wajib memelihara semula akhlak Islam yang masih terpelihara di kalangan umat Islam,” ujarnya di hadapan puluhan ribu hadirin.
Katanya, kesan akhlak Islam itu masih dipelihara di kalangan umat Islam yang memahami ajaran tersebut.
Umpamanya, kata beliau lihat kepada orang-orang bukan Islam di rantau Asia Tenggara seperti di Indonesia dan Malaysia yang majoriti orang Islam.
“Sila lihat orang-orang bukan Islam di rantau Asia Tenggara. Di Indonesia, di Malaysia negeri yang majoriti orang Islam. Orang Budha, orang Hindu, orang Kristian boleh berkedai di tengah-tengah masyarakat Islam.
“Ini akhlak yang diajar oleh Islam, yang dipelihara orang Islam hingga ke hari ini. Di mana orang bukan Islam boleh hidup di kampung orang Islam.
“Kita pun mewarisi akhlak ini tetapi akhlak ini tidak mungkin dipanjangkan dengan berkesan melainkan dengan mendaulatkan Islam memerintah negara,” jelasnya.
Justeru, katanya menjadi peranan ulama’ masa kini juga menyebarkan pemahaman Islam sebenar di kalangan orang-orang Islam sendiri.
“Kita menghadapi masalah di kalangan orang Islam sendiri, masih ramai kalangan mereka yang menganut Islam, bersemangat Islam tetapi tidak memahami ajaran mereka sendiri.
“Sangat sayangkan Islam, kasihkan Islam tetapi merobekkan Islam dengan gambaran yang salah,” ujarnya.
Selain itu, Ustaz Abdul Hadi melahirkan rasa kebimbangannya terhadap dua perkara negatif yang diambil manfaat oleh musuh Islam.
_DSC0110 (2)“Dua perkara yang sangat negatif dan sangat membimbangkan kita, yang diambil manfaat oleh musuh-musuh Islam.
“Pertama wujudkan gejala ‘tasahul’ (bermudah-mudah dengan ajaran Islam) dan kedua wujudnya gejala ‘tasyadud’ (melampau) di kalangan orang Islam sendiri,” jelasnya.
Katanya, golongan yang bermudah dengan ajaran Islam itu tidak beramal dengan akhlak dan syariat Islam serta meninggalkan syariat Allah.
Menurutnya, terdapat di kalangan mereka yang sayang kepada Islam tetapi tenggelam dalam maksiat dan kemungkaran.
Hadir sama pada majlis tersebut Mursyidul Am PAS, Dato’ Dr Haron Din, Timbalan Presiden PAS, Muhamad Sabu, Setiausaha Agung PAS, Dato’ Mustafa Ali dan ramai lagi.
Manakala, sebahagian pimpinan luar yang hadir bersama lebih dari 41 buah negara iaitu wakil Hamas Palestin, Dr Khalid Kadomi, Mr Temer Karamullah Uglu (Parti Saadat Turki), Maulana Dr Atu Ur Rahman (Jamiat Islami Pakistan), Dr Abdul Rahim (Harakah Isamiyyah Sudan), Abdul Rashid Turabi (Kashmir) serta wakil Parti Keadilan Sejahtera (PKS) Indonesia dan Parti An-Nahdhah Tunisia.

Tiada ulasan:

Razif Beri Guru Sepasang ‘Kain Empat Musim’

Pendaftaran ‘online’ bagi menghadiri majlis sambutan hari guru dan hari raya sekolah-sekolah dalam daerah Kuala Nerus, menjadikan para g...