28 Mac 2015

Masyarakat Bukan Islam Tidak Perlu Bimbang Perlaksanaan Undang-Undang Islam – Ustaz Abdul Hadi

IMG-20150327-WA0061Oleh : KAM
MARANG – Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang memberi jaminan kepada masyarakat bukan Islam di negara ini agar tidak perlu bimbang dan takut dengan pelaksanaan undang-undang Islam.
Ini kerana, katanya Enakmen Jenayah Syariah II 1993 Kelantan yang baharu diluluskan dengan pindaan 2015, itu hanya terpakai kepada orang Islam sahaja.

Menurutnya, orang bukan Islam tidak perlu bimbang dan takut dengan pelaksanaan undang-undang tersebut.

“Di mana usul (Enakmen Jenayah Syariah) yang kita (PAS) bawa ini tidak menyentuh hak orang-orang bukan Islam. Mengapa dia (DAP) menimbulkan isu (hudud) ini.
“Kita (PAS) dahulukan orang Islam dahulu dalam aspek-aspek dan ruang-ruang yang boleh kita laksanakan syariat (Islam) untuk menjadi contoh kepada orang bukan Islam, apa dia Islam?
“Apakah dia (bukan Islam) takut apa yang hendak kita (PAS) tunjukkan Islam…jangan takut,” ujarnya pada satu sidang media selepas kuliah pagi Jumaat, di kediamannya, Rusila, Marang, pada Jumaat 27 Mac.
Beliau mengulas kebimbangan DAP apabila kerajaan Kelantan meluluskan enakmen tersebut sebulat suara dan bakal disusulinya pula ke Parlimen selepas itu.
Namun, kata Dato’ Seri Abdul Hadi, PAS menyedari kemampuannya sekadar mempunyai 21 kerusi yang tidak memungkinkan pindaan kepada Perlembagaan Malaysia .
“Kita (PAS) sedar, kita cuma ada 21 kerusi parlimen dan dengan 21 kerusi ini tak kan kita hendak pinda Perlembagaan.
“Maka, kita (PAS) kemukakan suatu pindaan yang menjadi ujian kepada orang Islam dalam parlimen sama ada PAS, sama ada PKR atau orang BN sendiri yang ada orang Islam, yang perlu menyedari, yang perlu membuat suatu perubahan yang membolehkan orang Islam sendiri mengubah kedudukan mereka dalam Perlembagaan,” tegasnya.
Menurutnya, Perlembagaan kata Islam agama Persekutuan dan dalam masa yang sama agama lain adalah bebas serta pelaksanaan Islam tertakluk kepada Jadual 9.
Ustaz Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang menjelaskan usul tersebut mengambil kira kemampuan yang ada kepada kerajaan negeri kerana PAS tidak memerintah kerajaan pusat.
IMG-20150327-WA0039Katanya, PAS mengemukakan pindaan itu bagi membolehkan kerajaan negeri melaksanakan undang-undang jenayah dalam perkara yang tidak perlukan majoriti dua pertiga atau ‘simple majoriti’.
“Ini berkait dengan undang-undang jenayah yang terdapat masalah-masalah yang masih wujud dalam Perlembagaan, yang merupakan warisan dari penjajahan British yang perlu kita bebaskan.
“Kita semua tahu, Perlembagaan Malaysia acap kali membuat pindaan tetapi mengapa pindaan kepada undang-undang Islam tidak dibuat?
“PAS mengemukakan lebih dahulu pindaan perlembagaan untuk membolehkan kerajaan negeri melaksanakan undang-undang jenayah dalam perkara yang tidak perlukan majoriti dua pertiga, ‘simple majoriti’, yang berkait dengan Jadual 9 dan ini yang kita (PAS) dahulukan.
“Ini berkait dengan undang-undang jenayah. Jangan kita (pemimpin politik) fokus kepada hudud sahaja. Jenayah ini luas termasuk di dalamnya qisas, takzir dan hudud yang cabang-cabangnya yang banyak,” jelasnya kepada pemberita.
Menurutnya, PAS menerima secara positif kepada sesiapa sahaja yang menyokong pelaksanaan Enakmen Jenayah Syariah II 1993 (pindaan 2015) Kelantan tanpa rasa prejudis.

Tiada ulasan:

Cadangan Bajet Malaysia 2018