Tak Sakit Tak Semestinya Sihat

Oleh : Syakira

BESUT - "Tak sakit tak semestinya sihat", itulah ungkapan yang disebut oleh Dr. Farhana Hasbullah semasa slot Jom Sihat dalam program HARAP PGU 3.5 di Kampung Raja, semalam.

Beliau yang juga isteri kepada Timbalan Ketua Pemuda Malaysia, Ustaz Abdul Khalil Abdul Hadi. Tambah beliau lagi, "Kesihatan ini adalah menyeluruh. Kalau hubungan dengan masyarakat bermasalah, itu pun dikira tidak sihat".



Wanita memang fitrahnya suka berkorban untuk orang lain, sehinggakan kesihatan sendiri terabai. Dr. Farhana tampil bersama dua lagi teman bicara Jom Sihat, iaitu Dr. Khadijah dan juga Dr. Azi di tapak HARAP pagi semalam.

Dr. Farhana yang juga seorang doktor perubatan di sebuah hospital di Kuala Terengganu menjelaskan kajian yang dibuat pada tahun 2015 mendapati, sebanyak 3.5 juta masyarakat Malaysia yang menghidap kening manis. Darah tinggi pula mencatatkan angka 6.1 juta rakyat Malaysia penghidap penyakit berkenaan.

Ini adalah angka yang besar. Daripada tiga orang, berkemungkinan seorang daripadanya adalah penghidap darah tinggi.

Realiti yang tidak boleh disangkal lagi, kebanyakan masyarakat kita takut untuk melakukan pemeriksaan di hospital kerana takut untuk mengetahui penyakit yang dihadapi. Beliau dengan tegas berkata, "pergilah buat pemeriksaan di hospital, lebih baik  tahu penyakit di awalnya, supaya penyakit boleh dirawat di peringkat awal".

"Wanita adalah menteri kesihatan buat keluarga". Oleh sebab itu, wanita perlu lebih cakna tentang kesihatan, lebih-lebih lagi kesihatan diri sendiri.

Ulasan