03 Mac 2017

Kerajaan Patut Kongsi Pendapatan Dengan Rakyat, Bukan Naikkan Harga Gula


Walaupun kenaikan harga gula pasir putih bertapis kasar pada Mac 2017 hanya 11 sen, lebih rendah berbanding kenaikan pada Januari, Julai dan Disember 2010 serta pada 2011, 2012 dan 2013 yang mencatatkan kenaikan antara 20 sen sehingga mencecah 34 sen sekilogram, namun mengambilkira nilai semasa pertukaran Ringgit berbanding US Dollar sekarang ini, ia adalah merupakan kenaikan tertinggi berbanding tahun-tahun sebelum ini.

Disebabkan berlakunya susut nilai Ringgit ditambah lagi dengan kenaikan pelbagai kos sara hidup dan pelaksanaan GST, 11 sen bukanlah suatu nilai yang kecil untuk ditanggung oleh pengguna dan peniaga-peniaga atau pengeluar produk makanan.

Keadaan ini pasti menjadikan peniaga-peniaga atau pengeluar produk makanan ini terpaksa memilih untuk menaikkan harga makanan dan minuman yang dijual mereka. Sekali lagi, tambahan harga ini perlu ditanggung oleh pengguna. Lebih malang, pasti ada pihak yang akan mengambil kesempatan di atas kenaikan harga ini.

Berbeza dengan sebelum ini Kerajaan menjadikan alasan mengelak komplikasi seperti penyakit jantung, mengurangkan risiko menghidap diabetes dan rasionalisasi subsidi bagi mewajarkan kenaikan harga gula, kali ini Kerajaan memberikan alasan kenaikan harga gula mentah dunia bagi memunasabahkan kenaikan ini.

Tanpa menafikan hal tersebut, namun dalam keadaan MSM Malaysia Holdings Berhad (MSM) iaitu anak syarikat kepada Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) yang merupakan sebuah GLC menjadi sebagai peneraju pengeluar gula bertapis terbesar di negara ini apabila mencatatkan hasil keuntungan yang kukuh dan pertumbuhan pendapatan yang mengkagumkan dalam sejarah 51 tahun syarikat seperti yang diumumkan pada 2016, Kerajaan sepatutnya berkongsi hasil lumayan ini dengan rakyat bukannya membebankan rakyat dengan kenaikan harga gula.

Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali
Ahli Parlimen Kuala Nerus

Jumaat 3 Mac 2017

Tiada ulasan:

Cadangan Bajet Malaysia 2018