PAS Kuala Terengganu Prihatin Kesihatan Penduduk

Oleh Suhaimi Taib

KUALA TERENGGANU - PAS  Terengganu prihatin terhadap kesihatan rakyat negeri itu, sekaligus menawarkan bayaran hospital percuma kelas ketiga jika berjaya memerintah negeri itu selepas Pilihan raya Umum ke 14 (PRU 14) nanti.

Rakyat negeri itu khususnya, menghadapi masalah tekanan hidup dengan kenaikan harga barang keperluan harian mereka akibat kenaan GST sebanyak enam peratus ke atas majoriti barangan keperluan dan perkhidmatan seluruh negara.

Daya beli (purchasing power) menurun kerana kadar pendapatan isi rumah dan harga petrol naik beberapa kali setiap tahun di samping nilai ringgit malaysia (RM) jatuh dengan teruknya, berbanding mata wang popular yang lain.

Melihat keadaan ini PAS negeri itu menawarkan bayaran hospital percuma kelas ketiga bagi meringankan beban kewangan yang ditanggung mereka.

Sementara itu, PAS Kuala Terengganu melalui Pejabat Penyelaras Parlimennya di sini, mengadakan rawatan kesihatan percuma setiap Khamis mulai jam 9 pagi hingga 12 tengahari, di tempat terpilih di setiap empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), secara bergilir-gilir sejak April tahun lalu.

Yang Dipertua PAS Kawasan itu Ustaz Wan Shukairi Wan Abdullah berkata, sejak itu, PAS kawasan tersebut telah berjaya mengadakan program seumpama itu sebanyak 21 kali.

"Mulai April sehingga  Disember tahun lepas program diadakan sekerap sebulan sekali tetapi kemudian diubah kepada setiap minggu," katanya ketika dihubungi.

Kawasan tersebut termasuk DUN Ladang, DUN Batu Burok, DUN Wakaf Mempelam dan DUN Bandar.
 
Hari ini, perkhidmatan itu diadakan di Kampung Panji Alam dalam kawasan DUN Ladang. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Dato' Tengku Hassan Tengku Omar dan Ustaz Wan Shukairi antara kepimpinan PAS yang  turut hadir meraikan penduduk setempat.

Kira-kira 50 orang penduduk berkenaan membuat pemeriksaan kesihatan masing-masing. Seorang pegawai kesihatan  dan lima pembantunya bertugas di majlis berkenaan.

Ulasan