PAS Pulau Pinang Komited Bantu SPRM Cegah Rasuah

Oleh : Afnan Hamimi Taib Azamudden

Bagi merealisasikan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) yang digagaskan oleh PAS Pusat, Badan Perhubungan PAS Negeri Pulau Pinang dalam lawatan kerjanya ke Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) P. Pinang pada 28 Februari 2017 menyatakan komitmen untuk bersama-sama SPRM bagi mencegah perbuatan rasuah terutamanya dikalangan ahli politik.



Pertemuan lebih dua jam antara PAS P.Pinang bersama Pengarah SPRM Pulau Pinang Datuk Abd Aziz Aban di Ibu Pejabat SPRM P.Pinang itu banyak membincangkan mengenai perbuatan rasuah dan salah guna kuasa dikalangan ahli politik terutamanya yang memegang jawatan di dalam badan awam. Selain taklimat mengenai rasuah daripada pihak SPRM, isu-isu semasa di Pulau Pinang yang berkaitan dengan unsur rasuah dan salah guna kuasa juga turut dibincangkan secara serius.

Ust Mohd Fauzi Yusoff selaku Pesuruhjaya PAS P.Pinang yang mengetuai delegasi PAS memberikan komitmen penuh untuk membantu SPRM bersama-sama membanteras dan mencegah perbuatan rasuah terutamanya daripada aspek kesedaran agama dan perundangan Islam. Selain Ust Mohd Fauzi, ahli delegasi daripada PAS yang turut hadir ialah Setiausaha PAS Negeri Sdr Iszuree Ibrahim, Ketua Pemuda PAS Negeri Ust Afnan Hamimi Taib Azamudden, Ketua Penerangan PAS Negeri Ust Mohd Yusni Mat Piah, Pengarah Pilihan Raya PAS Negeri Sdr Bukhari Ghazali dan Pengerusi Lajnah Guaman PAS Negeri Ust Ahmad Jailani.

Diakhir pertemuan, Datuk Abd Aziz Aban merakamkam setinggi-tinggi penghargaan atas kesudian PAS P.Pinang mengadakan kunjungan hormat dan menjalin hubungan dengan pihak SPRM. Beliau menyanjung tinggi sikap PAS P.Pinang yang menghormati SPRM sebagai institusi penguatkuasa yang bebas dan berintegriti disaat beberapa pihak lain dikalangan ahli politik yang mempunyai tanggapan sebaliknya terhadap SPRM.

Ulasan