PAS Seberang Takir Sedia 'Berdepan' Dengan MB Terengganu

Oleh : Khairul Nizam Abdullah

KUALA NERUS - PAS Seberang Takir sudah bersedia sepenuhnya untuk berdepan dengan mana-mana calon Umno dan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum (PRU) ke-14, termasuk Menteri Besar Terengganu Dato’ Seri Ahmad Razif Abdul Rahman.

Pengarah Majlis Tindakan DUN tersebut, Ustaz Zakaria Dagang berkata, PAS telah memulakan kerja selepas berakhirnya PRU ke-13 yang lalu dengan mengadakan ‘post mortem’ bagi mengkaji segala kelemahan.


“Gerak kerja berikutnya adalah melengkapkan jentera pilihan raya di peringkat Dun dan Peti Undi, termasuk tiga peti undi baharu yang diwujudkan oleh SPR di Dun ini,

“Kita mempunyai tenaga kerja yang mencukupi bagi menghadapi kerja-kerja pilihan raya nanti, insya Allah,” ujarnya ketika ditemui.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai persiapan PAS Seberang Takir bagi menghadapi PRU ke-14 nanti.

Menurutnya, persediaan yang  dibuat termasuklah dari segi kewangan bagi menghadapi pilihan raya melalui dana khas yang diwujudkan.

“Kerja-kerja kempen juga dibuat secara berterusan melalui ceramah dan majlis-majlis penerangan serta edaran risalah dari semasa ke semasa,

“Program-program berbentuk kebajikan dan kemasyarakatan juga menjadi keutamaan kita di peringkat Dun ini dengan menyampaikan sumbangan secara berkala kepada golongan yang kurang bernasib baik. Begitu juga program ziarah diadakan secara berjadual,” jelas beliau.                      

 Sehubungan dengan itu, Ustaz Zakaria yang juga Setiusaha PAS Kawasan Kuala Nerus menyeru kepada semua ahli dan penyokong PAS khususnya di Dun Seberang Takir supaya hadir beramai-ramai ke program Himpunan Harapan Semua (HARAP) - PGU 3.7 yang akan diadakan di Dun Batu Rakit, Kawasan Setiu pada 27 - 29 Julai ini.

“HARAP kali ini merupakan siri terakhir HARAP - PGU yang diadakan secara bergilir di semua Kawasan Parlimen di negeri ini,

“Program ini sangat penting dalam meningkatkan semangat dan daya juang ahli-ahli PAS di semua peringkat, selain mendapat maklumat terkini perkembangan politik dalam dan luar negara,


“Semoga ia mampu memberi kesan besar kepada kita menjelang PRU14 yang semakin hampir ini,” katanya.

Ulasan