27 Julai 2017

Tidak Wajar Jual Plus Kepada Syarikat Milik Individu

Saya merujuk kepada suatu laporan oleh The Edge pada 24 Julai lalu yang menyatakan bahawa Tan Sri Abu Sahid Mohamad, pemilik Maju Holdings Sdn. Bhd. mahu mengambil alih syarikat pengendali konsesi lebuh raya PLUS Malaysia Bhd. dengan membeli 51% saham UEM Group Bhd. iaitu anak syarikat milik penuh Khazanah Nasional Bhd.

Laporan tersebut juga menyatakan bahawa TS Abu Sahid Mohamad turut berhasrat untuk membeli 49% lagi saham PLUS Malaysia Bhd. milik Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Sekalipun rundingan mengenainya masih belum dimulakan, apa yang mendukacitakan ialah apabila TS Abu Sahid Mohamad memaklumkan bahawa beliau amat yakin akan berjaya mengambil alih PLUS Malaysia Bhd. kerana telah mendapat restu daripada pihak tertinggi dalam negara.

Oleh demikian, saya menggesa Kerajaan agar segera membuat penjelasan berhubung isu ini memandangkan PLUS Malaysia Bhd. adalah pengusaha lebuh raya bertol terbesar di Malaysia dan salah satu yang terbesar di Asia Tenggara yang memiliki dan menguruskan aset yang amat strategik milik negara yang tidak wajar untuk ia dipindahmilikkan kepada mana-mana syarikat milik individu lain.

Perlu diberikan perhatian bahawa lebuh raya ini adalah aset matang yang menyediakan peruntukan deviden yang stabil terutamanya kepada pencarum-pencarum KWSP. Sekiranya KWSP tidak lagi mempunyai hak pemilikan ini, dividen kepada para pencarum pasti akan terjejas.

Selain itu, sekiranya ia tidak lagi menjadi milik Kerajaan, rundingan mengenai kenaikan kadar tol akan menjadi lebih terhad. Berbanding sekarang, kadar tol di jajaran Lebuh Raya Utara-Selatan sepanjang 960 km itu tertakluk kepada kajian setiap 3 tahun dan hanya melibatkan agensi milik Kerajaan menjadikannya lebih anjal untuk dirundingkan termasuk boleh untuk membuat penangguhan.

Jika ia menjadi milik individu, penangguhan ini hampir mustahil boleh berlaku bahkan Kerajaan juga berkemungkinan menghadapi risiko lain seperti disaman dan meningkatkan perbelanjaan negara akibat perlu membayar pampasan justeru rakyat juga pastinya akan turut sama terbeban.

Sekian.

”Sejahtera Bersama Islam”

YB. DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ahli Parlimen Kuala Nerus

Tiada ulasan:

Islam dan Hukum Syarak Tidak Mengikat Mahkamah Sivil Dalam Isu Islam?

Keputusan Mahkamah Rayuan mengenai kesahan meletakkan bin bagi anak tidak sah taraf kepada bapa biologi anak tersebut menimbulkan polemik...