Hamas Adakan Latihan Ketenteraan Besar-besaran

Hamas mengadakan latihan ketenteraan besar-besaran di Gaza pada hari Ahad, meletupkan bom, melancarkan peluru berpandu dan meningkatkan kemahiran penggunaan senjata api.


Hampir 30,000 anggota Briged Izzudin Al-Qassam terlibat dalam latihan memakan tempoh selama 24 jam itu.


Berikutan latihan intensif itu, pada malam Ahad, siren serbuan udara dibunyikan di seluruh Israel selatan, dan sistem pertahanan roket Iron Dome Israel melancarkan beberapa tembakan ke langit malam.

Media Israel juga melaporkan peluru kereta kebal menembak tentera di sasaran di Jalur Gaza utara.

Namun kemudian, Jurucakap tentera Israel mengatakan bahawa tiada peluru berpandu yang ditembak ke wilayah Israel.

Dalam pada itu, Hamas merancang satu demonstrasi besar-besaran di sempadan Israel-Gaza pada hari Jumaat dan menggesa penduduk Gaza untuk berkumpul berhampiran pagar dan berarak ke arah kedudukan Israel dengan niat untuk menyeberang ke negara Yahudi.

Anggota Biro Politik Hamas Dr Khalil Al Hayya menekankan himpunan "Great March of Return" itu, adalah satu kegiatan yang aman dan damai. 

Beliau juga memberi amaran kepada pihak berkuasa rejim Israel untuk tidak mengambil sebarang langkah agresif terhadap perarakan atau kepada mereka yang mengambil bahagian.

Menurut Al Hayya, seluruh warga Palestin termasuk lelaki, wanita dan kanak-kanak Palestin akan menyertai himpunan tersebut.

Kembali ke tanah Palestin yang diduduki adalah hak yang sah dan akan dipertahankan oleh setiap pelarian Palestin, kata jurucakap Hamas itu. 

Bercakap pada sidang akhbar di Semenanjung Gaza, Dr Al-Hayya menegaskan bahawa niat di sebalik perarakan itu sepenuhnya aman.

"Sebab itulah kita melibatkan isteri dan anak-anak kita," jelasnya. 

"Kami mahu berdiri di sempadan tanah kami yang diduduki, tanpa membawa senjata, untuk menyampaikan mesej kami kepada dunia." tegas beliau.

Pada masa yang sama, beliau mengeluarkan amaran kepada Israel untuk tidak menyerang orang tanpa senjata dan damai, termasuk wanita, kanak-kanak dan orang tua.

Ulasan