Kem Anak Soleh Lahir Generasi Al-Fateh

Oleh : Akid Hafriz

KUALA TERENGGANU - Kem Anak Soleh Mumtaz 5.4 (Mumtaz 5.4) yang diadakan di Masjid Sultan Ismail, Chendering bermula Ahad lepas menjadi medan terbaik untuk melahirkan generasi Al-Fateh.

Ketua Pemuda PAS Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk, Ahmad Firdaus Hamdan berkata, program yang disertai seramai 70 peserta itu diisi dengan pelbagai program menarik bagi membina peribadi muslim yang baik dalam kalangan remaja.

“Saya mengharapkan agar segala ilmu yang disampaikan didalam kem ini dapat diamalkan oleh adik-adik (peserta) dalam kehidupan mereka

“Surah-surah pilihan yang telah dihafal juga hendaklah diulang dan berusahalah untuk menghafal lebih banyak surah yang lain”, kata beliau ketika berucap dalam majlis perasmian penutup, semalam.

Sementara itu, menurut peserta lelaki terbaik program, Muhammad Arif Abdurrahman Mohd Yusof berkata, mereka sangat bertuah kerana mendapat ilmu dan skil yang berguna selama lima hari mengikuti kem itu.

“Para peserta telah menyertai pelbagai aktiviti yang menarik seperti Hafazan Al-Quran, Klinik Solat Sempurna, Sunnah Memanah, Seni Silat dan lain-lain lagi. 

“Dalam program ini saya dapat banyak pelajaran yang bermanfaat dan semoga lebih ramai yang menyertai program ini dimasa akan datang," ujarnya.

Kem Anak Soleh Mumtaz ini merupakan program tahunan yang dianjurkan oleh Waja Batu Buruk dan Ameerah Batu Buruk dengan kerjasama Pemuda PAS Dun Batu Buruk.

Ulasan