Tarbiyyah, Al Quran DNA Pemuda PAS

Oleh : Izzat Al Qushairi

SETIU - Tarbiyyah dan al-Quran adalah dua elemen penting yang menjadi DNA kepada pemuda PAS dan perlu dipertahan serta diamalkan setiap masa.

Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM),  Ir Khairil Nizam Khiruddin berkata, aktiviti tersebut perlu dihidupkan untuk memastikan usaha mencorakkan pemuda Ansorullah terus menjadi realiti sebagai produk masa depan perjuangan Islam di negara ini.


Katanya, dewan pemuda setiap negeri seharusnya menggarap skema pentarbiyahan pemuda yang benar-benar mampu memberdayakan potensi setiap aktivis pemuda sehingga ke peringkat cawangan.

"Sudah sampai masanya skema pertarbiyahan pemuda diberikan nilai tambah kerana konteks dan tuntutan perjuangan dalam realiti dakwah dan politik juga begitu dinamik.

"Pemerkasaan agenda tarbiyah ini mesti bermula dengan meningkatkan keupayaan para nuqaba, sebagai enjin dalam keseluruhan perlaksanaan agenda tarbiyah.

"Para nuqaba' pemuda, bukan hanya perlu menghadam bahan-bahan tarbiyah asasi tetapi mampu mengaitkan tassawur tarbiyah daripada bahan-bahan tersebut dengan waqi' yang dihadapi, yang menyebabkan wacana tarbiyah segar dengan bahan-bahan naqli dan aqli," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dalam program Mukhayyam Qiadi Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT), di Desa Kekabu INN, Permaisuri semalam.

Beliau juga berkata, kesinambungan tarbiyyah bagi pimpinan pemuda negeri, kawasan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) mesti ditingkatkan supaya proses membina bakat dan potensi pemuda-pemuda berlaku dengan sistematik.

"Kita tidak mahu lagi senario di mana bahan tarbiyah yang sama diulang berkali-kali tanpa banyak nilai tambah sedangkan tuntutan dakwah semasa menuntut para pemuda menekuni pelbagai teks dan bahan tarbiyah untuk memimpin ummah dengan fikrah yang jernih dan mantap," ujarnya.

Beliau juga menggesa ahli DPPNT menguasai budaya politik baharu kerana menerusi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu, pengundi terutama golongan muda menghantar mesej jelas bahawa mereka sudah muak dengan budaya politik fitnah, ganas, rasis dan kebencian.


"Pemuda PAS perlu menyedari realiti dan 'expectation' baru ini dengan iltizam menjadi pemain yang berketerampilan dan berkesan dalam medan demokrasi semasa," katanya lagi.

Jelasnya, dalam mencapai cita-cita menjadi pemain dan peneraju yang berketerampilan, pemimpin pemuda harus sedia untuk terus belajar dan mencabar diri serta berani tampil di tengah khalayak, berhujah dalam pelbagai topik dan isu berkait kepentingan Islam dan kemaslahatan rakyat.

Selain itu, Ir Khairil turut mengingatkan ahli-ahli DPPNT bahawa suasana politik nasional pada hari ini turut menuntut pemuda menyusun tenaga murabitun yang berkepakaran dalam meletakkan PAS dalam posisi peneraju.

"Dalam menyusun tenaga murabitun ini, Dewan Pemuda PAS akan merangka sistem sokongan supaya institusi murabitun benar-benar berkesan dan menyumbang kepada kemajuan jamaah secara menyeluruh," tambah beliau.

Ulasan