250 Masyarakat Tionghua Kemaman Terima Bantuan


Oleh: Ahmad Ezani Razali

KEMAMAN -  250 orang masyarakat kaum Tionghua Kemaman telah menerima bantuan berbentuk beras dan barangan dapur, kelmarin.


Pengarah Majlis Tindakan DUN (MTD) Chukai, YB Hanafiah Mat berkata, bantuan tersebut bagi membantu golongan tersebut yang kebanyakannya hilang pendapatan harian akibat pelaksaan Perintah Kawalan Pergerakan  (PKP).

"Sebelum ini juga kita telah mengagihkan sebanyak 250 beg beras dan barangan dapur kepada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Cina untuk diagihkan kepada penduduknya.

"Hari ini pula kita agihkan lagi sebahagian besar kepada mereka yang masih tidak menerima bantuan sebelum ini," ujarnya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga & Perpaduan Nasional negeri mengharapkan dengan bantuan itu dapat mengeratkan hubungan kasih sayang dan silaturrahim antara kaum.

"Seperti yang selalu saya maklumkan bahawa kerajaan negeri tidak akan mendiskriminasikan rakyat.

"Semua yang layak akan menerima bantuan tanpa mengira agama, bangsa ataupun ideologi politik. Itulah falsafah pegangan kerajaan negeri Terengganu," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Cina, Lip Woon Chang ketika dihubungi mengucapkan terima kasih kepada Hanafiah dan kerajaan negeri yang telah memberikan bantuan tersebut.

"Tanpa mengira kaum, bantuan tetap sampai kepada rakyat. Sedikit sebanyak, ianya dapat meringankan bebanan yang sedang dihadapi oleh mereka dalam tempoh PKP ini," katanya.

Ulasan