200 Bekas Onde-Onde Buah Tangan Mat Motor

Oleh: Muhd Afiq Zohir

BESUT - Sebanyak 200 bekas kuih onde-onde menjadi buah tangan sekumpulan mat motor untuk warga Besut sebagai  juadah berbuka sempena Ramadan Al-Mubarak.

Pengerusi Kelab Bermotorsikal Alternative Riding Club (ARC) Besut, Mohd Jali Sulong berkata kelab permotoran itu tidak melepaskan peluang untuk sama-sama bersedekah untuk manfaat orang ramai.

“Akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebarang konvoi bermotorsikal tidak dibenarkan, oleh itu kami memanfaatkan masa yang terluang dengan melakukan aktiviti yang berfaedah", ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di majlis gotong-royong menyiapkan kuih tradisional itu di Kampung Alor Lintang, Jerteh, dekat sini pada 21 Mei.

Seterusnya kata beliau lagi, semangat kesatuan dan kesefahaman antara ahli menjadikan kumpulan ini sentiasa menjadi perhatian orang awam terutamanya golongan anak muda.

"Anak muda perlu diberi perhatian yang lebih agar mereka tidak terjebak dengan aktiviti atau gejala yang kurang sihat.

“Aktiviti sebegini amat sesuai bagi memastikan hubungan silaturahim sesama ahli akan sentiasa kukuh", terangnya sambil
memaklumkan bahawa program tersebut adalah  merupakan aktiviti tahunan ARC Besut.

Ulasan