Ameerah Perlu ‘Melompat Lebih Jauh’



Oleh : Syazwana M.Zohir

KUALA TERENGGANU – Ahli Ameerah Negeri Terengganu diseru untuk melakukan satu anjakan paradigma dalam semua aspek, bersesuaian dengan status Parti Islam se-Malaysia (PAS) selaku salah sebuah parti komponen yang membentuk kerajaan pusat.


Pengarah Ameerah Negeri Terengganu, Zuraida Md Noor berkata ahli Ameerah sudah tidak boleh berada di takuk lama, sebaliknya perlu melompat keluar dari zon selesa dan mula mengambil cakna mengenai isu-isu besar.

Menurut beliau lagi dalam keadaan politik sekarang, Ameerah perlu terkedepan serta membuka ruang diskusi dan solusi mengenai polemik berkaitan wanita seperti khitan, perkahwinan bawah umur dan sebagainya.

“Kita sudah menjadi sebahagian daripada kerajaan pusat, jadi perbincangan kita tidak boleh hanya berkisar sekitar Negeri Terengganu semata-mata tetapi perlu diperluaskan.

“Begitu juga dengan kecaknaan kita mengenai isu-isu semasa. Bukan lagi taraf kita untuk bincangkan perkara-perkara kecil yang bersifat picisan,”ujarnya.

Zuraida berkata demikian dalam satu sesi Usrah Bulanan Ameerah Terengganu di Bukit Payung, baru-baru ini.

Beliau yang juga merupakan Ketua Pengarah Ameerah Malaysia mengajak muslimat muda untuk melazimi membaca kerana hal itu membantu untuk mengumpul lebih banyak maklumat.

“Jika kita nak berdiskusi, tidak boleh tidak kita mesti membaca. Mana nak datang maklumat kalau kita tidak membaca.

“Wajibkan diri untuk membaca buku-buku ilmiah seperti mana kita wajibkan diri untuk membaca al-Quran setiap hari,”tambahnya.

Ulasan