Isu LGE; Pemuda PAS Terengganu Lapor SPRM


Oleh : Izzat Al Qushairi

KUALA TERENGGANU - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diminta menyiasat satu dakwaan mengenai salahguna kuasa Setiausaha Agong DAP yang juga bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng dan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas.



Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT) Nasir Razak berkata, sebuah portal berita melaporkan kedua-dua individu tersebut membatalkan arahan pembekuan melibatkan beberapa akaun bank milik seorang 'bos hartanah' yang sedang disiasat berhubung transaksi kira-kira RM4 juta dana berkait 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

"DPPNT sudah membuat satu laporan berhubung kes ini bagi mendesak siasatan secara telus dan tindakan yang sewajarnya diambil oleh pihak berkuasa.

“Jika ia disenyapkan, kita bimbang negara kita akan terus dibelenggu kes penyelewengan dengan status jenayah kolar putih oleh orang atasan,” tegasnya.

Beliau berkata demikian kepada pihak media selepas melaporkan laporan berkait perkara di atas di Ibu Pejabat SPRM Negeri Terengganu, pada hari ini.


Katanya, pihak berautoriti seperti SPRM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) diharap dapat mengambil tindakan tegas ekoran isi kandungan tersebut jelas menunjukkan kes itu berlaku.

Turut hadir bersama, Timbalan DPPNT, Ramlan Mahmood, AJK DPPNT, Zaidan Abdullah, Mohd Al Ghazali Abu Bakar, Ustaz Mohd Shafizi Ismail dan Sauji Abd Rasid.

Nasir berkata, orang ramai boleh ambil tindakan yang sama dengan membuat laporan sebagai tanda cakna dan prihatin terhadap isu yang melanda tanah air

“Kita mengharapkan rakyat celik dan bersatu padu bagi memastikan negara kita bebas dari sebarang bentuk penyalahgunaan kuasa dan rasuah,” tambah beliau.

Ulasan