Pesanan Kepada Perantau Terengganu Pulang Semasa PKPP


Alhamdulillah bersyukur pada Allah SWT kerana pada hari ini 11 Jun 2020, negara kita telah pun melepasi beberapa tahap Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan.

Sekarang ini kita berada pada fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) iaitu fasa pemulihan.

Beberapa perkara utama yang telah pun diberikan kebenaran oleh pihak kerajaan diantaranya adalah merentas negeri dan beberapa perkara lagi yang diberikan kebenaran.

Saya atas nama Ketua Penerangan Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu mengucapkan selamat pulang kepada anak-anak Terengganu di perantauan.

Saya cukup yakin mereka akan mengambil peluang daripada kebenaran rentas negeri yang telah pun diberi oleh kerajaan ini untuk pulang ke kampung.

Sekiranya pada peringkat awal baru-baru ini, pada satu Syawal  kita masih lagi tidak dibenarkan tapi sekarang telah pun dibenarkan untuk merentas negeri.

Jadi, ambillah peluang untuk pulang kampung halaman, berjumpalah dan santuni ibu bapa, sanak saudara dan sahabat handai yang sekian lama ditinggalkan kita semua.

Dan saya mengucapkan selamat pulang kepada semua perantau. Namun begitu dalam keghairahan kita pulang ke kampung menyantuni ibu bapa, sanak saudara dan sahabat  handai, pastikan SOP yang dikehendaki dan telah pun ditetapkan oleh pihak kerajaan terus diamalkan oleh tuan-tuan dan puan-puan sekalian.

Pastikan diri anda sentiasa dalam keadaan bersih, memakai penutup hidung dan mulut, sentiasa membasuh tangan dan sentiasa memastikan persekitaran kita dalam keadaan yang bersih.

Untuk negeri Terengganu dan juga khususnya beberapa daerah pastikan sampah sarap tidak dibuang merata-rata kerana baru-baru ini ancaman denggi telah berlaku di beberapa daerah seperti  di Kuala Terengganu, Marang dan Kuala Nerus.

Untuk itu, saya menyeru kepada para perantau yang akan pulang agar pastikan anda tidak membuang sampah di merata-rata tempat dan gunalah peluang ini untuk pulang ke kampung santuni  semua sahabat handai dan sanak saudara.

Walaupun  telah masuk dipertengahan Syawal tidak lewat untuk saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua anak-anak Terengganu  yang berada di perantauan yang pulang ke negeri Terengganu Darul Iman.

Ambillah peluang kepulangan tuan-tuan dan puan-puan sekalian untuk melawat tempat-tempat pelancongan yang sekarang ini juga telah pun  dibuka kepada umum.

Bawalah anak-anak, dan saudara mara pergi melawat, berkelah dan sebagainya.

Sekali lagi saya ingatkan SOP, jarakkan kedudukan diantara  satu sama lain, kerap membasuh tangan  dan juga memakai penutup hidung dan mulut sentiasa menjadi amalan kita.

Insya Allah kita pasti menang!

YB Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah
Ketua Penerangan PAS Terengganu

Ulasan