PRU-15 Medan Pertempuran Anak Muda


Oleh : Izzat Al Qushairi/Hishamuddin

BESUT - Pilihan raya umum ke-15 (PRU15) yang dijangka berlaku pada akhir tahun ini akan menjadi medan pertempuran anak muda.

Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu, Senator Dato’ Tuan Guru Haji Husain Awang berkata, penguasaan di alam maya perlu kepada golongan pakar dalam menggunakan media sosial seterusnya menjadi 'frontliners' dalam pertembungan itu.

“Kejayaan yang dicapai oleh dakwah di setiap zaman ialah para pemuda menjadi teras yang berada dihadapan dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab.

“Antara syarat golongan muda menjadi teras dalam menegakkan kebenaran, yang pertama ialah mempunyai tenaga kuat.

"Selain itu, syarat kedua ialah mesti ada keimanan dan yakin bahawa perjuangan kita adalah perjuangan yang betul, perjuangan pada jalan Allah dan perjuangan yang diwarisi daripada para Nabi dan Rasul," jelasnya.


Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu kali ke-51 di Dewan Majlis Daerah Besut, Gong Kemuntong di sini, pada Jumaat, 28 Ogos.

Menurut Husain, para pemuda mesti berani menerang dan mempertahankan prinsip perjuangan parti dalam pertembungan akan datang.

“Seterusnya ialah Allah menambahkan lagi kekuatan iman, petunjuk, ilmu kepada para pemuda sekalian.

"Dan yang keempat adalah kecekalan hati dimana  pemuda yang berhati waja dan cekal, yang tidak mudah dilunturkan oleh apa jua suasana dan perkembangan yang berlaku," ujarnya.

Beliau menambah, anak-anak muda yang bersatu di atas satu prinsip iaitu iman inilah yang layak mendapat rahmat, perlindungan Allah dan berhak diberikan kecekalan hati dalam menghadapi apa jua rintangan dihadapannya dalam meneruskan perjuangan ini.

Ulasan