Street Siasah Perkasa ‘Cakna Politik’ Anak Muda

Oleh;  Syazwana


KUALA TERENGGANU - Ameerah Terengganu terus memperkasa program kepada anak-anak muda agar cakna isu semasa dan juga dunia politik.

Pengarah Ameerah Terengganu, Zuraida Md Noor berkata, bagi menjayakan misi Ameerah Malaysia iaitu Politik Islam dan juga Informatif, mereka telah menganjurkan program yang dinamakan sebagai ‘Street Siasah’.

"Sempena Hari Malaysia, kita mengambil peluang mengadakan Street Siasah di seluruh negeri Terengganu.

"Menerusi Unit Penerangan, kita telah melaksanakan ‘Street Siasah’ ini secara gelombang dengan mengadakannya secara serentak di setiap lapan daerah dalam negeri Terengganu," ujarnya.

Beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai program Street Siasah yang diadakan pada Hari Malaysia baru-baru ini.

Menurutnya, objektif penganjuran ‘Street Siasah’ ini adalah untuk melihat sejauh mana kecaknaan isu semasa dan juga politik dalam kalangan anak muda.

"’Street Siasah’ ini bertujuan membuka mata, tahap kecaknaan dan kesedaran golongan muda terhadap isu semasa dan politik.

"Kita sedia maklum, tidak semua anak muda faham dan ambil berat tentang isu semasa dan politik. Jadi, Ameerah mengambil sikap tanggungjawab ingin menerangkan kepada mereka, perlu dan pentingnya kefahaman politik ini," tegasnya.

Program ‘Street Siasah’ kali ini diadakan dengan konsep temubual kepada responden-responden terpilih dalam kalangan anak muda. Antara soalan yang diajukan adalah berkenaan Kerajaan Negeri Terengganu. 

" Alhamdulillah, kami Ameerah bersyukur semuanya berjalan lancar. Cuma mewakili golongan muda, kami agak berduka cita masih ada lagi anak muda yang tidak prihatin dengan perkembangan semasa yang berlaku di sekeliling mereka.

"Ini memberikan petanda, agar Ameerah mesti terus berusaha mendekati golongan ini, agar mereka beroleh pendedahan yang sebenar tentang politik yang diajarkan Islam," tambah Zuraida.

Ulasan