Anwar Caca Marbakan Politik Negara

 


Oleh : Mohd Nasir Abdullah

Tidaklah terlalu sukar bagi kita memahami keadaan politik negara yang kini masih belum lega bergolak semenjak Februari dahulu. Bermula dengan perletakan jawatan PM oleh Tun, ia membawa kepada kejatuhan PH, seterusnya membawa kembali Umno ke dalam kerajaan oleh parti serpihan mereka, Bersatu. Manakala PAS yang juga berperanan besar menjatuhkan PH, turut dipelawa sama dalam pentadbiran baharu.

Pada kebanyakan keadaan, kita boleh memahami bahawa politik adalah sesuatu yang sangat fleksibel. Sangat besar kemungkinan musuh ketat dahulu, kini menjadi kawan. Dan sahabat tidur sebantal, kemudiannya menjadi musuh dalam selimut. PAS dan Umno, Anwar dan Tun Mahathir adalah antara contoh yang amat jelas dilihat.

Jadi permainan politik akan dilihat sebagai medan siapa yang  boleh menggunakan siapa bagi mencapai tujuan asal mereka dalam mengejar kuasa. Dan sudah pastilah niat samada untuk Allah atau kepentingan diri, akan membezakan semua perbuatan mereka itu. Jadi pandangan batil berkenaan feqah politik tidak boleh berubah sambil menuduh perubahan itu sebagai munafik atau sebagainya, hanya menunjukkan mereka tidak faham strategi politik.

Anwar menggerakkan strategi beliau. Walau dianggap sinis, tetapi ia telah menyebabkan gelombang yang besar kepada semua parti politik yang ada. Dalam masa kelihatan tiada respon positif bagi gerakan itu, Umno secara tiba-tiba telah mengeluarkan kenyataan mengugut PN dengan mempertimbangkan untuk keluar dari perikatan jika tiada perjanjian bertulis dibuat.

Kita memahami akan betapa eratnya hubungan Anwar dan Zahid. Zahid adalah Ketua Pemuda Umno sewaktu Anwar menjadi Timbalan Presiden di pertengahan 90-an dahulu. Beliau juga yang menaikkan isu kronisme dan nepotisme sewaktu perang dingin antara Tun dan Anwar dalam Perhimpunan Agung Umno. Setelah Anwar ditangkap, beliau juga dikenakan tahanan ISA sekejap, sebelum dibebaskan. Beliau mengambil sedikit masa bagi kembali dalam kepimpinan Umno, sehinggalah berjaya kini.

Kita tidak mahu menuduh beliau berpakat dengan Anwar bagi meruntuhkan kerajaan PN. Tetapi kita memahami tindakan beliau mungkin disebabkan tekanan dalaman yang dirasakan Umno sepatutnya menjadi PM atau mendapat lebih banyak lagi kerusi menteri dek kerana mereka menjadi parti majoriti dalam PN. Ya kita faham lojik ini. Tetapi mengugut rakan sewaktu rakan tersepit, ia bukanlah suatu sikap yang terpuji. Malah ia menyerlahkan sikap lama Umno yang masih tidak berubah.

Walaupun begitu, dikatakan dalam Umno ada tiga golongan. Sebahagiannya menyokong PN, sebahagiannya cenderung kepada MN dan satu lagi masih sayangkan Anwar. Oleh itu, Anwar telah menggunakan pengaruh beliau bagi memasukkan jarum keraguan dalam Umno, supaya beliau mendapat sokongan untuk menjadi PM. Ditambah lagi dengan keadaan kesihatan Tan Sri Muhyiddin yang agak menggangu, maka aturan Anwar lebih teguh.

Bagi menambahkan lagi seni dalam gerakan beliau, Anwar menjauhkan DAP daripada drama ini. Adakah kita melihat apa-apa respon daripada DAP terhadap tindakan Anwar ini? Kecuali kenyataan bahawa Anwar telah mengkhianati mereka, tiada bantahan keras DAP terhadap tindakan Anwar ini. Yang mereka tumpukan ialah kes Covid 19 makin banyak sambil mereka juga ada yang positif setelah pulang dari Sabah. Itu sahaja yang terzahir.

Kenapa? Sebab saya melihat jika DAP turut menyokong gerakan Anwar ini, maka rakyat akan sedar dan bertambah membenci Anwar. DAP jelas adalah satu liabiliti yang amat hina jika dimiliki oleh sesiapa. Maka mendiamkan diri, bagi memberikan ruang kepada Anwar, adalah tindakan bijak mereka. Jika anda melihat mereka sebagai benar-benar berkelahi, maka anda silap kerana DAP juga tahu yang Umno tidak akan boleh hidup dengan mereka. Sambil mereka menuduh umno rasuah, punggung mereka juga penuh dengan najis rasuah. Jadi, jangan nampakkan muka DAP, adalah tindakan bijak.

Ada juga pandangan yang mendakwa, perbuatan Zahid ini adalah bagi menyelamatkan dirinya. Saya tidak tahu sejauh mana kebenaran dakwaan itu. Najib juga tidak galak dalam memberikan komentar beliau berkenaan dakwaan ada Ahli Parlimen Umno yang akan berpaling sokongan. Sedangkan ini isu besar. Isu yang boleh meruntuhkan kerajaan. Najib hanya menumpukan isu Covid dan PRN Sabah, ketika isu ini berlaku. Kali kedua isu ini dibangkitkan, tetapi kedua-duanya memberikan sikap yang sama.

Namun kita faham, tiada siapa yang sanggup masuk penjara. Ugutan penjara politik ini telah lama digunakan. Tun dan Anwar amat pandai dalam hal ini kerana di zaman mereka majoriti musuh politik dikenakan ISA. Tetapi jika benar tuduhan itu, maka Umno mungkin lupa yang DAP pula amat pandai menunggang orang. Dan paling lama menjadi tunggangan mereka ialah Anwar. Dan tunggangan paling setia ialah Pan, pastinya.

Umno perlu sedar akan keadaan ini. Akhirnya dakwaan mereka yang menjadi sebagai parti yang mahu menyelamat dan mempertahankan Islam dan Melayu, akan terkulai layu di kaki DAP melalui gerakan ini. Umno tidak seharusnya mengikut tarian sumbang politik Anwar. Bersabar dalam masa dua tahun lagi sebelum PRU mungkin akan menjadikan imej Umno lebih bersih di mata rakyat.

Sedang dalam kepercayaan rakyat semakin menebal terhadap Umno, mungkin kesilapan mereka menurut tindakan Anwar yang mengugut Muhyiddin, bukan mempertahankan beliau ini, akan membawa Malaysia ke landasan peperangan politik yang tidak berkesudahan. Rakyat sudah amat bosan dengan PH dahulu yang mana Anwar ada di dalamnya. Adakah sekarang Umno akan menyusuri caca marba politik rekaan Anwar ini?

PAS kekal dengan janji mereka. Mereka bersama PN, tanpa menyusahkan Muyiddin. Bersama Umno, tidak mengkhianati walaupun begitu payah mahu menjelaskan kepada ahli-ahlinya. Bersama S46, Barisan Alternatif, Pakatan Rakyat, semuanya membuktikan kesetiaan PAS terhadap perjanjian. Tidak menyusahkan rakan, malah sanggup berhabisan harta benda bagi membantu rakan. Dan PAS begitu jelas dan tegas menyatakan sokongan terhadap PM, tanpa ragu dan berkepentingan, kecuali untuk Islam.

Atau adakah Malaysia memerlukan Tun turun ke gelanggang semula bagi mengenakan kembali belitan beliau kepada Anwar? Biar belit dibalas belit. 

Ulasan