Situasi Terkini Covid-19 Di Terengganu


 Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu telah merekodkan tiga (3) kes baru Covid-19 dan tiada pertambahan kes sembuh menjadikan terdapat 21 kes Covid-19 aktif di Negeri Terengganu dengan jumlah keseluruhan sebanyak 176 kes. 


Ketiga-tiga kes baru ini merupakan kes tempatan iaitu kontak rapat kepada pesakit daripada Kluster Makekar. 

Kesemua 21 kes aktif ini dalam keadaan stabil dan dirawat di wad biasa yang dikhaskan untuk pesakit Covid-19 di Hospital Hulu Terengganu dan Hospital Sultanah Nur Zahirah.

Adalah dimaklumkan terdapat empat (4) kluster yang didaftarkan oleh KKM di Negeri Terengganu.

1. Kluster Makekar

Kluster Makekar didaftarkan pada 25 Oktober 2020, merupakan kluster tempat kerja dan dikenalpasti di Mukim Rusila, Marang. 

Kluster ini melibat mukim Rusila dan Pulau Kerengga di Marang, mukim  Kepong di Kuala Terengganu, mukim Rasau di Dungun, mukim Kerteh, Banggul, Chukai dan Teluk Kalong di Kemaman dan daerah Klang di Selangor. 

Kes indeks bagi kluster ini dikesan pada 22 Oktober 2020 melalui saringan individu bergejala. Sehingga 26 Oktober 2020, seramai 12 orang lagi kes positif dikesan hasil saringan kontak rapat kes indeks. 

Langkah-langkah kawalan serta pengesanan dan saringan kontak rapat sedang giat dijalankan. Punca jangkitan masih dalam siasatan. Humlah kes : 13. 

2. Kluster Bah Tanjung

Kluster ini telah didaftarkan pada 7 Oktober 2020 dan dikenalpasti di Daerah Kuala Nerus.

Kes indeks bagi kluster ini telah dikesan positif Covid-19 hasil saringan individu pulang dari Sabah pada 30 September 2020. Tiada pertambahan kes baru pada hari ini. Jumlah kes : 8

3. Kluster Bah Sahabat

Kluster baharu ini telah dikenal pasti di Daerah Marang, Kuala Terengganu dan Kuala Nerus, Terengganu. 

Kes indeks bagi kluster ini telah dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi (Sabah) pada 25 September 2020. 

Tiada pertambahan kes baru pada hari ini. Jumlah kes: 11 

4. Kluster Bah Bemban

Kluster ini dikesan di Daerah Dungun. Tiga (3) kes indeks kluster ini merupakan individu yang pulang dari Negeri Sabah. 

Saringan kontak rapat telah mengesan tujuh (7) lagi kes Tiada pertambahan kes baru pada hari ini. Jumlah kes: 10 

Pada 26 Oktober 2020, terdapat tiga (3) kluster di negeri lain yang melibatkan kes di Negeri Terengganu

1. Kluster SIMERA

Kluster SIMERA melibatkan tiga buah negeri  iaitu Selangor, Terengganu dan Pahang. 

Di Terengganu, kluster ini dikesan di Kg. Pasir Akar Besut melibatkan pekerja yang pulang dari Selangor. Tiada pertambahan kes baru di Terengganu pada hari ini. Jumlah kes: 3

2. Kluster Menara

Kluster ini bermula pada 17 Oktober 2020 melibatkan Negeri Selangor, WP Kuala Lumpur, Perak, Wilayah Persekutuan Putrajaya, Melaka dan Terengganu melibatkan tempat kerja. 

Di Terengganu seorang pesakit telah dikesan melibatkan kluster ini pada 18 Oktober 2020. Tiada pertambahan kes baru di Terengganu pada hari ini. Jumlah kes: 1

3. Kluster Kencana

Kluster ini bermula pada 14 Oktober 2020 melibatkan Negeri Selangor, WP Kuala Lumpur, Johor dan Terengganu. 

Di Terengganu seorang pesakit telah dikesan melibatkan kluster ini pada 19 Oktober 2020. Tiada pertambahan kes baru di Terengganu pada hari ini. Jumlah kes: 1

Secara umumnya, situasi pandemik Covid-19 di Negeri Terengganu pada masa ini adalah terkawal.

Pihak jabatan sentiasa memantau rapat perkembangan kes dan kluster dari semasa ke semasa.

 Bagi setiap kes yang dikesan, langkah-langkah kawalan akan dijalankan dengan segera dan semua kontak rapat akan dikenalpasti dan dihubungi bagi menjalani saringan dan pengasingan.

Orang ramai dinasihatkan agar kekal tenang dan sentiasa mematuhi Standard Operating Procedure (SOP) serta mengamalkan Norma Baharu yang telah digariskan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia. Budayakan amalan 3S/3C dan 3W sebagaimana saranan Kementerian Kesihatan 

Ulasan