150 Sukarelawan Khidmat Siap Hadap Banjir


 Oleh : Rohayati Ripin

KUALA TERENGGANU - Seramai 150 orang Sukarelawan Khidmat Malaysia (KHIDMAT) siap siaga untuk hadapi cabaran monsun dan musim tengkujuh pada tahun ini.

Setiausaha PAS Kawasan Besut, Cikgu Salahuddin Jaafar berkata, pasukan itu dilengkapi dengan 15 buah pacuan empat roda, bot dan tiga unit perahu serta peralatan membersih rumah.

Katanya, mereka terdiri daripada wakil-wakil DUN, anggota Jabatan Amal, ahli Alternative Riding Club (ARC), Evergreen, Ameerah dan orang perseorangan.

"Sukarelawan ini akan terlibat membantu memindahkan mangsa banjir, menyediakan kemudahan di pusat pemindahan.


"Dan khidmat selepas banjir surut seperti membersih rumah dan membaiki kerosakan," jelasnya.

Beliau yang juga Pengarah Majlis Tindakan DUN (MTD) Hulu Besut berkata demikian ketika di minta mengulas mengenai Pelancaran Sukarelawan Khidmat Malaysia (KHIDMAT) yang dirasmikan oleh oleh Yang Dipertua PAS kawasan Besut, Ustaz Wan Azhar bin Wan Ahmad pada Jumaat yang lalu.

Menurutnya, Sukarelawan khidmat Malaysia Besut bukan setakat membantu agensi-agensi kerajaan bahkan merupakan petugas sepenuh masa secara bergilir di pusat pemindahan.

"Sebagai persiapan menghadapi musim tengkujuh tahun ini PAS kawasan Besut telah membuat perancangan lebih awal dengan menubuhkan satu jawatankuasa bagi menyusun bantuan yang lebih teratur.


"Mengenal pasti kawasan-kawasan yang teruk ditenggelami air dan bantuan awal yang perlu disediakan," katanya.

Selain itu, sebanyak RM 8,000 ringgit disediakan untuk persiapan awal, sebuah bot bernilai RM 10,000, peralatan -peralatan lain seperti alat-alat membersih rumah, water jet dan lain-lain bagi kemudahan di musim banjir.

"Kita juga bekerjasama dengan pihak Polis, Rela, Bomba dan Tentera," ujar Cikgu Solah.

Beliau menambah, Bilik Operasi banjir pada tahun ini adalah di Tingkat bawah bangunan PAS Besut berhadapan Pejabat Pos Jerteh dan sebarang pertanyaan boleh hubungi Pengarah Khidmat Malaysia Besut, 011 59619935 Haji Ismail ataupun Penyelaras Operasi Banjir, Cikgu Solahuddin Jaafar, 013 902 9169.

Ulasan