Bajet 2021; Pemuda PAS Cadangkan 33 Saranan


KUALA TERENGGANU - Pemuda PAS mengemukakan sebanyak 33 cadangan Bajet Terengganu 2021 yang dikategorikan kepada enam komponen utama kepada Menteri Besar, Dato Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.

Ketuanya, Ustaz Nasir Abdul Razak berkata, cadangan tersebut adalah hasil daripada beberapa platform media sosial, saluran parti dan juga sumbang saran Ahli Jawatankuasa sayap parti itu.

"Kami yakin pihak kepimpinan mempunyai masa bagi mengkaji dan menilai kesemuanya berdasarkan kemampuan kewangan yang ada sebelum persediaan perbentangan Bajet 2021  pada 23 dan 24 November ini," jelasnya .

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataannya pada hari ini.

Menurut Nasir, cadangan itu dilihat relevan dan memenuhi kehendak rakyat bukan sahaja mampu menjana ekonomi, malah dapat memberi kelangsungan hidup rakyat yang terjejas akibat Covid-19.

Sementara itu, beliau turut mengalu-alukan cadangan Ketua Pemuda Umno Terengganu, Tengku Haphiz Tengku Putera yang turut mengutarakan  'Tujuh Teras Kotak Bajet Terengganu 2021'  yang dikumpulkan melalui program siaran  langsung malam tadi di media sosial miliknya.

"InsyaAllah atas dasar rakan Muafakat Nasional saya ucapkan terima kasih atas inisiatif yang baik ini.

" Besarlah harapan kami anak muda Terengganu agar idea dan pandangan yang dikumpulkan ini dapat dinatijahkan kepada Bajet Terengganu 2021," ujarnya.

Sehubungan dengan itu, keputusan kerajaan Perikatan Nasional yang membenarkan pengeluaran daripada akaun satu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sehingga maksimum RM60,000 cukup melegakan rakyat.

Katanya, inisiatif yang dinamakan program i-Sinar terbabit membolehkan dua juta pencarum mendapat suntikan baru bagi meneruskan hari mendatang.

“Hasrat kita bersama agar KWSP akaun satu dapat dikeluarkan pada saat-saat genting ini dipenuhi oleh Kerajaan akhirnya tertunai.

“Tahniah kepada kerajaan Malaysia kerana membuat keputusan penting dalam keadaan terbaik. Tuntutan yang dibuat hanya RM10,000 sahaja tetapi keputusan yang keluar malah hingga maksimum RM60,000 bagi yang mempunyai caruman melebihi RM90,000 dan ke atas dalam akaun 1,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau merakamkan penghargaan kepada Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Saari  yang mencadangkan agar Belanjawan 2021 diterima tanpa syarat melibatkan penambahan moratorium secara bersasar dan pengeluaran wang KWSP akaun satu.

“Ini kerana dua permintaan itu tiada dalam RUU Perbekalan untuk dibincangkan dalam Dewan Parlimen. Bahkan beliau mencadangkan agar ahli parlimen kerajaan duduk semeja dan bincangkan yang terbaik buat rakyat,” katanya.


Namun menurut Mohd Nasir, keputusan yang mengembirakan itu bukan bermakna wang yang berjaya dikeluarkan nanti perlu dihabiskan dalam tempoh  singkat dan tanpa tujuan penting. 


“Nasihat kami agar berbelanjalah secara berhemah demi hari-hari yang mendatang. Situasi akan datang yang kita tidak dapat ramalkan secara tepat, sama ada pandemik COVID-19 akan hilang atau tidak dengan vaksin yang ditemui. 


"Hanya doa yang mampu kita panjatkan kepada Allah SWT agar wabak ini diangkat dari negara kita,” tambah beliau.

Ulasan