DAP: Dubuk Yang Insaf


DAP minggu lepas menerusi Anthony Loke, Setiausaha Organisasi nya, melaungkan akan mempertahankan institusi raja, hak istimewa Melayu dan Islam sebagai menunjukkan satu jaminan kononnya mereka adalah rakyat Malaysia yang baik. Dakwaan ini menyebabkan aku tersenyum sendiri mengenangkan pasti akan ada Melayu Islam yang akan percaya.

Dalam senyuman itu, fikiranku terawang-awang menggamit kenangan seorang Adun DAP di Johor, pernah suatu ketika tidak mahu mengenakan songkok iaitu salah satu pelengkap pakaian rasmi ketika perasmian Sidang Dun oleh DYMM Tuanku Sultan Johor sekitar tahun 2008 dahulu yang kemudiannya dihalau keluar oleh Speaker Dun.

Kemudiannya nostalgia lain pula menyusul datang iaitu rengekan Adun-Adun Melayu Islam, rakan mereka di Pulau Pinang yang merayu meminta peruntukan. Antaranya tangisan Adun Penanti, yang mana peratus pengundi Melayu di situ lebih kurang 75 peratus, masih terbayang-bayang dalam fikiran aku kerana pembangunan rakyat di Dun beliau tidak dihiraukan oleh DAP. Dengan rakan pun dia kemut, apa lagi dengan orang lain kan? Semudah itu, tak boleh fikir ke?

Hadir pula ingatan lain iaitu 'Superman' DAP, Hew Kuan Yau yang menghina Melayu Islam iaitu menyuruh dilaga-lagakan kaum kita supaya berpecah, kemudiannya mereka akan mengambil kesempatan atas perpecahan itu. Melaga-lagakan itu bukanlah satu sikap yang terpuji, apa lagi jika yang mereka mahu lagakan itu ialah kawan mereka sendiri. Biar Melayu 'screw' Melayu katanya.

Oh, tidak lupa juga Ahli Parlimen Bandar Kuching, Chong Chieng Jen pernah berucap dalam Bahasa Inggeris ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2016, pada November 2015. Menurut perlembagaan, perbahasan di Parlimen mestilah dalam Bahasa Malaysia sepenuhnya kecuali meminta izin dan dibenarkan oleh Speaker Parlimen. Dan beliau berkeras menggunakan Bahasa Inggeris sehingga tamat ucapan.

Aku masih tidak nyanyuk, beberapa bulan selepas PH menang, Ahli Parlimen Ipoh Barat, Naib Pengerusi DAP Kebangsaan yang juga Menteri Sumber Manusia, M. Kulasegaran ketika itu telah membuat satu dakwaan yang menghina orang Melayu di Malaysia dengan mengatakan bahawa kaum Melayu adalah kaum pendatang dan kaum India adalah penduduk asal negara ini. Pada 28 Julai 2018 beliau mendakwa kenyataannya diputar belit, selang dua hari beliau memohon maaf.

Terbaharu, mesti ramai yang masih ingat, anak muda yang dilihat pro-DAP, University Malaya Association of New Youth (UMANY) secara kurang ajar, cuba menghina Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong dengan mendesak Baginda agar tidak mencampuri urusan politik negara. Sebelum itu, tahun lepas, mereka mendesak Naib Canselor UM untuk meletakkan jawatan.

Dan yang paling panas, baru keluar dari ketuhar, ialah isu keputusan tidak membenarkan berpakaian baju melayu, ketika Sidang Dun Selangor berlangsung kecuali pada hari Jumaat. Speaker Dun ialah Adun Sekinchan, Ng Suee Lim dari DAP. Sewaktu Adun Templer ditegur pada 2018 dahulu, Speaker secara jelas mengatakan ia bagi menjaga 'kemuliaan dewan'. Secara literalnya yang aku faham, maksud kenyataan beliau itu, baju melayu adalah pencemar kemuliaan dewan.

Cukuplah sekadar ini dahulu, beberapa ingatan kisah silam DAP, iaitu anak butir tahi PAP di Singapura bila mereka mendakwa akan 'mempertahankan' semua perkara itu. Aku letak tajuk dubuk sebab teringat kepada watak jahat dubuk yang sentiasa ambil peluang mencari mangsa. Banyak kali dah kita guna musang sebagai contoh. Jadi kita ubah kepada dubuk pulak, biar nampak antarabangsa sikit. Tapi sama jer perangai dua ekor tu.

Mohd Nasir Abdullah

3 November 2020

Ulasan