17 November 2020

Kami Sebagai Doktor, Bukan 'Tuhan'


Setiap penyakit ada kaedah untuk merawatnya. Walaupun kami sebagai doktor perubatan, bukannya Tuhan, usaha dan ikhtiar untuk mencegah dan merawat dipelajari setiap hari. Pasti ada perbaharuan dalam kaedah berubat sesuai dengan ruang lingkup ilmu yang Allah berikan jua.

Mencegah dan merawat penyakit berjangkit itu dibuat berdasarkan ujikaji demi ujikaji sehinggalah mencapai satu tahap yang diyakini. Adakah 100% sembuh? Tidak, kuasa penyembuhan itu kembali kepada Allah jua. Kami hanya menyambung titik titik kaedah yang semuanya di bawah keluasan Ilmu Tuhan yang berikan. Tidak lebih dari itu. Sunnatullah.

Apa yang sudah kita pelajari setakat ini?

COVID-19 adalah PANDEMIK, kerana definisi pandemik itu sendiri merujuk kepada keseluruhan manusia di majoriti negara-negara di dunia terlibat dalam wabak. Kalau hanya negara China sahaja atau Amerika sahaja, ianya diberi nama epidemik. Istilah ini tidak perlu dipertikaikan kerana ianya sudah maklum seentero dunia.

COVID-19 bukannya Influenza Bermusim. Struktur virus pun berbeza walaupun gejala hampir sama. Namun kedua-duanya tetap serius dan wajib kita putuskan rantaian jangkitan. Tidak bermakna jika wabak influenza, kita berlepas diri dan tidak membuat SOP! Terdapat garis panduan dan mekanisma yang telah pun ditentukan dalam pengurusan kesihatan awam.

Pemalar kebolehjangkitan (R0) COVID-19 vs Influenza pun jauh beza. Terkini, R0 COVID-19 antara 2.0 to 2.5, bermakna virus COVID-19 boleh menjangkiti 2-2.5 orang lain. Generasi jangkitan akan bertambah seperti sistem Multi-Level Marketing. Manakala Influenza adalah kurang dari 1.3. Walaupun kes influenza agak tinggi seluruh dunia, kebolehjangkitan virus dapat kita anggar dan kekang supaya tidak cepat merebak. Lagi pun influenza sudah dapat dicegah melalui vaksin.

Kematian COVID-19 amat membimbangkan: Lebih 1.32 juta setakat ini sudah dicatat. Angka ini meningkat setiap saat. bayangkan ketika kes awal di Amerika, dari 4,200 kes, 508 (12%) dimasukkan ke hospital. Mengejutkan kita 36.4% dari pesakit yang dimasukkan ke ICU menemui ajal akibat COVID-19. Kadar kematian COVID-19 seluruh dunia 1 - 3.4%. Sebaliknya influenza hanya <1.0%.

Serangan utama COVID-19 adalah paru-paru sehinggalah menyebabkan si penghidap akan sukar untuk bernafas dan akhirnya boleh membawa maut. Bantuan alat pernafasan amat penting. Manakala influenza, mode serangan adalah lebih kepada jangkitan otak, jantung dan otot badan. Jangkitan sekunder dari bakteria boleh berlaku dalam kes serangan influenza.

Memang penemuan itu agak teknikal dan klinikal jika dibincangkan. Hanya doktor yang berdepan terus dalam pengurusan kes mengetahui perbezaannya.

Sebab itu kita merasa kesian apabila masyarakat dengan mudah di kelentong oleh "penceramah luar" yang tidak pun mengetahui bagaimana merawat pesakit COVID-19. Akhirnya cuba menegakkan benang basah serta mengelirukan orang ramai bahawa COVID-19 itu tidak merbahaya, SOP tidak perlu dan pelbagai dakyah lagi.

Saya sendiri pun akan merujuk kes kepada pakar dan melihat segala maklumat dari ahli yang berwibawa dalam isu ini. Bukan merujuk kepada youtube atau laman web yang tidak diketahui kesahihan maklumat.

Dr Suhazeli Abdullah 

16.11.2020

Tengkawang

Tiada ulasan:

Senjata Baru Dalam Perjuangan

  Oleh : Suzie Hassan KEMAMAN -  Semua petugas dalam jentera dan organisasi PAS, perlu menguasai 'senjata baru' dalam mengatur langk...