PAS Kesal Kenyataan Tidak Bertanggungjawab AP Bintulu

 


Oleh Ahmad Sabri Yusof

KUALA TERENGGANU - PAS kesal kenyataan tidak bertanggungjawab Ahli Parlimen Bintulu, Dato’ Seri Tiong King Sing terhadap Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Anggota Badan Perhubungan PAS Terengganu, Haji Ahmad Amzad Hashim menyifatkan, kenyataan Dato’ Seri King Sing itu terhadap Dr Noor Hisham, yang tidak turun ke Sabah kerana ‘takut mati’ adalah sangat tidak sesuai.

“Semua kita (rakyat) tahu bahawa, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham, kita telah bertungkus-lumus sejak daripada awal pandemik. Dalam memastikan urusan berkait dengan menangani masalah Covid-19 ditangani sebaiknya. 

“Pada saya, kenyataan (King Siang) itu sangatlah tidak sesuai dan saya melahirkan rasa kesal saya, dengan kenyataan yang dibuat oleh Bintulu. 

“Isteri saya, (seorang) Doktor. Dr Nur Diana seorang doktor juga dan ‘frontlines’ (barisan hadapan) juga, dan saya melihat betapa anggota Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah berkorban begitu sekali, dalam melaksanakan tugas untuk kepentingan negara demi kesejahteraan rakyat seluruhnya,” ujar beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu, selepas Sidang Parlimen, di Kuala Lumpur semalam.

Beliau selaku Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah bertemu dengan Menteri Kesihatan, Dato’ Seri Dr Adham Baba yang turut kecewa dengan kenyataan tidak berasas seumpama itu.

“Saya beri sokongan dan dorongan supaya Dato’ Seri Dr Adham terus mempertahankan Ketua Pengarah Kesihatan (Dr Noor Hisham) dan beri dorongan supaya tidak lemah semangat dengan kata-kata tidak bertanggungjawab seperti itu. 

“Saya harap, selepas ini usah lagi diulangi perkataan-perkataan yang tidak sepatutnya seperti itu. Lebih-lebih lagi pandemik Covid-19 ini telah melibatkan pengorbanan banyak pihak yang perlu kita hargai. 

“Usah kita pandang perkara ini sebagai ‘gurauan’, yang mungkin Bintulu (King Sing) bermaksud lain tetapi, apa yang didengar itu tak cantiklah, tak bagus dan semoga ini tidak berulang lagi di masa akan datang,” tegasnya.  


Ulasan