15 November 2020

Pasca Pilihanraya; Ke Mana Halatuju Amerika Syarikat?


Oleh : Muhammad Khalil Abdul Hadi.

Pilihanraya Presiden Ameika Syarikat telah tamat beberapa hari lalu namun gendangnya masih lagi berbunyi akibat keenganan Donald Trump menerima kekalahan kepada lawannya Joe Biden yang telah mendahului lebih daripada 270 undi “ electoral collage “ yang melayakkannya untuk memenangi pilihanraya presiden kali ini. 

Bahkan Trump mendapat sokongan daripada beberapa pimpinan utama partinya seperti Lindsey Graham dan Mitch McConnell yang menyarankannya supaya tidak menerima keputusan pilihanraya tersebut kerana keraguan yang didakwa wujud penipuan pilihanraya di beberapa negeri seperti Pennsylvania, Georgia dan beberapa wilayah lagi.  

Justeru itu Donald Trump dan parti Republikan bertindak membawa kes yang didakwa “ penipuan piliharaya “ ke mahkamah bagi menentukan keputusannya dan juga beberapa kes seperti menghentikan pengiraan undi setelah mendapat dakwaaan berlakunya penipuan terhadap daftar pemilih.

Namun dalam beberapa kes yang sudah dibawa ke mahkamah, hampir dikatakan semua kes tersebut ditolak kerana tiada bukti sebaliknya hanya khabar angin. Kes pertama yang ditolak ialah di Georgia di mana seorang penyokong parti Republikan menuduh tanpa bukti bahawa terdapat 53 kertas undi tiba tidak mengikut masa yang ditetapkan.

Setelah banyak kes yang dikemukakan kalah, Donald Trump dan parti Republikan sedang berkira - kira untuk membawa kes - kes terbabit ke Mahkamah Agong. Ia dipercayai kerana beberapa minggu sebelum pilihanraya Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dan ahli Dewan Senat dari parti Republikan melantik penyokong kuatnya iaitu Amy Coney Barrett sebagai Hakim Mahkamah Agong.

Dengan lantikan tersebut dan jumlah hakim - hakim yang “ condong “ kepada parti Republikan terutamanya selepas kematian Ruth Bader Ginsburg, dipercayai jika kes tersebut dibawa kepada Mahkamah Agong, keputusannya akan memihak kepada Donald Trump dan parti Republikan. Hingga saat ini, nampaknya kemelut politik dalaman Amerika Syarikat disifatkan sebagai huru - hara.

Ketidaktentuan politik Amerika Syarikat ini akan memberi impak yang sangat besar kepada politik antarabangsa kerana perlu diakui, Amerika Syarikat adalah kuasa ekonomi dan politik yang paling besar di dunia pada hari ini. 

Justeru itu, beberapa buah negara dan kuasa besar sangat berhati-hati dalam memberi ulasan terhadap keputusan pilihanraya Amerika Syarikat kali ini. Rusia, China dan Brazil masih belum lagi memberikan ucapan tahniah kepada Joe Biden sebagai pemenang, manakala Turki pula baharu sahaja semalam ( 10 November 2020 ) merakamkan ucapan tahniah daripada Presidennya, Recep Tayyip Erdogan namun sangat berhati - hati dengan menyebut Turki masih lagi menunggu keputusan rasmi pilihanraya sebagai menghormati rakyat Amerika Syarikat. 

Dengan melihat kepada kemungkinan keputusan pilihanraya ini akan diputuskan oleh mahkamah, maka boleh dirumuskan bahawa Amerika Syarikat sedang berada dalam krisis yang sangat kronik pada masa ini iaitu, sebuah negara yang bakal mempunyai dua orang Presiden, seorang Presiden berada dalam pejabat rasminya iaitu White House dan seorang presiden lagi menunggu di pintu White House. 

Mengikut perlembagaan Amerika Syarikat, calon pilihanraya Presiden yang memenangi pilihanraya hanya akan dilantik secara rasmi 70 hari selepas pilihanraya diadakan iaitu pada tanggal 20 Januari 2021 akan datang namun dalam masa tersebut yang dipanggil “ Lame Duck Session “, bakal Presiden baharu akan diberikan kemudahan tertentu seperti pejabat, peruntukan kewangan dan akses kepada agensi dan jabatan - jabatan kerajaan untuk memudahkan urusan ketika peralihan kuasa.

Namun ketika ini, pasukan transisi Joe Biden tidak mendapat kerjasama General Service Administration ( GSA ) , agensi yang mengawal selia urusan transisi kerajaan setelah pilihanraya kerana dipercayai Emily Murphy, pentadbir GSA seperti melengahkan atau menghalang transisi tersebut kerana Emily Murphy dilantik oleh Donald Trump pada 2017 dan merupakan penyokong kuat beliau.

Amerika Syarikat Di Ambang Kehancuran. 

Ketidaktentuan politik di Amerika Syarikat saat ini membuatkan beberapa akhbar Amerika Syarikat dan Britain memberi amaran bahawa Amerika Syarikat bakal berdepan dengan krisis yang sangat serius di mana ia boleh membawa kepada malapetaka yang besar. 

The Washington Post dalam laporannya pada 7 November 2020 menyebut bahawa Amerika Syarikat bakal berdepan situasi politik dalaman yang paling sukar dalam sejarah modennya kerana seorang Presiden yang menyebarkan pembohongan dan menuduh penipuan dalam pilihanraya dengan asas-asas yang tidak kukuh. 

Akhbar The Times dari Britain pula meramalkan minggu-minggu akan datang adalah ujian besar kepada politik Amerika Syarikat kerana keputusan akhir hanya akan diumumkan oleh badan yang menguruskan pilihanraya pada 14 Disember 2020 akan datang. Dalam tempoh ini pelbagai kemungkinan boleh berlaku khususnya tindakan-tindakan ‘gila’ yang mampu dilakukan oleh Trump samada dalam konteks politik dalaman mahu pun antarabangsa. 

Akhbar The Guardian pula mengulas senario paling buruk yang bakal berlaku jika sekiranya Amerika Syarikat masih lagi tidak dapat melantik presiden secara rasmi pada tanggal 20 Januari 2021 ialah ketidaktentuan pihak tentera untuk menyerahkan ‘kunci’ peledak bom nuklear kerana ia hanya akan dipegang oleh Presiden Amerika Syarikat yang sah.

Maka dengan pelbagai senario dan ramalan, kemungkinan jalan penyelesaiannya ialah Peguam Negara Amerika Syarikat iaitu William Barr yang sememangnya pendokong kuat Donald Trump akan mengisytiharkan Trump untuk terus menjadi presiden bagi penggal kedua. 

Maka tidak hairanlah baru sahaja lagi dalam sidang media Setiausaha Negara Amerika Syarikat Mike Pompeo, beliau mengatakan bahawa akan berlaku transisi kerajaan dengan aman dimana Donald Trump akan menjadi Presiden Amerika Syarikat untuk penggal kedua.

Jika ini berlaku, sudah tentu ia akan menyebabkan kemarahan penyokong Demokrat yang akan membuat demonstrasi sehingga boleh membawa kepada kekacauan dan ketidaktenteraman.

Dalam tempoh beberapa hari ini, Donald Trump telah pun memberikan andaian atau gambaran akan melakukan beberapa tindakan yang di luar jangkaan. 

10 November, Donald Trump telah memecat Setiausaha Pertahanannya Mark Esper yang tidak sehaluan dengannya khususnya dalam krisis kekacauan akibat kempen ‘Black Lives Matters’ baru-baru ini apabila beliau tidak mengikut arahan Trump supaya mengerahkan tentera bagi mententeramkan kekacauan yang berlaku. 

Beberapa hari lalu, Donald Trump mengumumkan akan mengadakan rapat umum besar-besaran untuk penyokong-penyokongnya bagi membantah keputusan pilihanraya. Namun dalam laporan kepada CNN baru - baru ini, penasihat kempen pilihanraya Donald Trump, Jason Miller menafikan yang Donald Trump mahu mengadakan rapat umum besar - besaran walaupun ia benar.

Berdasarkan keadaan semasa, penganalisa-penganalisa politik meramalkan krisis politik Amerika Syarikat kali ini boleh membawa kepada perang saudara antara negeri, penyokong parti politik iaitu Demokrat dan Republikan mahupun etnik serta kaum. 

Telah tercatat dalam sejarah Amerika Syarikat telah berlaku beberapa perang saudara antaranya perang saudara pada 1861 - 1865 sehingga mengakibat Abraham Lincoln terbunuh. Ia adalah perang saudara yang membabitkan negeri - negeri selatan dan utara di mana punca utamanya adalah perhambaan dan perkauman.

Isu perkauman dan ketidakadilan adalah isu utama apabila berlakunya kekacauan atau boleh dikatakan “ civil war “ di Amerika Syarikat. Kebangkitan orang kulit hitam akibat daripada isu - isu tersebut pada 1940an sehingga tercetusnya kekacauan di serata Amerika Syarikat yang mengakibatkan terbunuhnya Martin Luther King pada 1968 adalah lambang keburukan demokrasi yang dijual oleh Amerika Syarikat ke serata dunia.

Ketika itu kumpulan radikal kulit putih atau “ white supremacist “ seperti Ku Klax Klan ( KKK ) telah melakukan pembunuhan dan kekacauan terhadap orang kulit hitam dan kaum minoriti bermula seawal tahun 1920an. Ketika ini, kumpulan radikal kulit putih seperti Pride Boys yang menjadi pendokong kuat Donald Trump sejak sebelum piliharaya sudah mula menimbulkan kekacauan.

Malah ketika mula keluar keputusan piliharaya, militia - militia radikal kulit putih termasuk Proud Boys sudah mula mengawal pusat pengiraan undi lengkap dengan bersenjata separa automatik “ ala perang “ malah ada yang bertindak mahu merempuh pusat pengundian kerana dikatakan berlaku penipuan.

Jika dilihat kepada senario semasa, saya menjangkakan keadaan di Amerika Syarikat akan menjadi lebih teruk daripada keruntuhan Soviet Union satu masa dahulu apabila satu persatu wilayah di dalamnya mengisytiharkan kemerdekaan. 

Namun Soviet Union berbeza dengan Amerika Syarikat kerana kaum dan bangsa yang menghuni di dalamnya adalah mereka yang berasal dari Soviet Union. Adapun Amerika Syarikat adalah sebuah negara “ imigran “ di mana penduduknya terdiri daripada pelbagai kaum, bangsa dan etnik yang datang berhijrah dari seluruh pelusuk dunia kecuali penduduk asal ataupun lebih dikenali sebagai American Indian.

Bibit-bibit perpecahan kaum telah lama membarah dalam masyarakat Amerika Syarikat khususnya ketidakpuashatian kaum warna kulit hitam dan kaum minoriti lain terhadap kaum kulit putih dan keterbukaan atau “ free world “ yang dianjurkan Amerika Syarikat mendapat tentangan golongan konservatif yang menyebabkan ia merebak kepada pertembungan kepartian yang kita lihat saat ini.

Dunia Islam mengikuti dengan teliti dan sangat khuatir dengan perkembangan yang berlaku di Amerika Syarikat. Bagi umat Islam, walaupun siapa sahaja yang menjadi Presiden Amerika Syarikat, ia tetap sama sahaja, kerana yang menentukan polisi-polisi terhadap Dunia Islam adalah mereka yang tidak mahu melihat kebangkitan semula Dunia Islam menjadi kuasa besar dunia.

Dalam konflik Palestin-Israel, Joe Biden dijangka akan terus memberikan sokongan dan dokongan kepada Israel kerana pelobi Zionis sangat berpengaruh dalam menentukan halatuju dasar luar Amerika Syarikat didalam konflik ini dan Asia Barat secara umumnya namun mungkin cara dan pendekatannya agak berbeza dengan Donald Trump.

Dalam isu hak asasi manusia di negara-negara Arab, Joe Biden dijangka akan mengambil langkah lunak dan diplomasi dengan gerakan-gerakan politik Islam yang sederhana khususnya Ikhwanul Muslimin. Jika ini berlaku ia sudah tentu akan menimbulkan ketidakpuashatian Presiden Mesir, As-Sisi, pemerintah-pemerintah negara Teluk khususnya Arab Saudi dan UAE yang sudah sedia maklum permusuhannya dengan gerakan Ikhwanul Muslimin. 

Dalam konflik Syria, Joe Biden adalah di antara penyokong kuat perjuangan puak Kurdis bagi mewujudkan sebuah negara untuk mereka. Justeru ia akan merumitkan lagi hubungan antara Amerika Syarikat dan Turki.

Dalam isu perjanjian nuklear Iran, Joe Biden dijangka akan menggunakan diplomasi dalam mendepani Iran khususnya untuk menganggu politik dalaman Iran. Dengan kaedah ini, kumpulan reformis dijangka akan mendapat sokongan dan akan menganggu gugat pentadbiran dan herarki kepimpinan Iran saat ini.

Namun persoalan paling besar ialah hubungan Amerika Syarikat dengan China yang ketika ini kelihatan begitu tegang. Walau ramai yang menjangkakan Joe Biden akan meredakan ketegangan tersebut tetapi jangkaan ramai penganalisa geopolitik dunia bahawa kebanyakkan dasar - dasar pentadbiran Donald Trump akan dikekalkan untuk melindungi kepentingan penguasaan Amerika Syarikat terhadap geopolitik dunia.

Apa sekalipun keputusan pilihanraya Amerika Syarikat dan siapa sekalipun Presidennya, umat dan Dunia Islam perlu sedar, hanya kita sahaja yang mampu mengangkat keagungan dan kemuliaan umat dan Dunia Islam tanpa perlu bergantung kepada mana - mana kuasa dunia sekalipun.

Dengan pelbagai kurniaan hasil bumi dan kekayaan, sepatutnya umat dan Dunia Islam bersatu - padu dan menyatukan kekuatan untuk mendepani cabaran dan musuh - musuh Islam. Saya percaya jika ini berlaku, umat dan Dunia Islam akan kembali agung dan mulia serta akan menjadi kuasa ulung dunia.

Namun sayang, saat ini hanya perpecahan dan pertelingkahan yang berlaku sesama umat dan Dunia Islam serta merugikan semua pihak. Sedarlah umat dan Dunia Islam, kembalilah kepada ajaran Islam yang sebenar. Insyallah, jika berada dijalan yang benar serta mengamalkan Islam yang sebenar, Allah SWT akan membuka seluas - luasnya pintu kerahmatan dan kemuliaan buat seluruh umat dan Dunia Islam.

***YB Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi ialah Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat.yang juga DUN Batu Buruk.

Tiada ulasan:

Senjata Baru Dalam Perjuangan

  Oleh : Suzie Hassan KEMAMAN -  Semua petugas dalam jentera dan organisasi PAS, perlu menguasai 'senjata baru' dalam mengatur langk...