PASTI: Terbukti Prasekolah Islam Terbaik Negara Ini

 


Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor

2020 akan melabuhkan tirainya yang sarat dengan peristiwa, suka duka coret kehidupan  yang memancing cebikan buat rakyat jembel negara ini, terkesan teruk dengan pandemik kovid 19 yang mendunia. Terkini, lebih 50 juta warga dunia yang disengat dengan wabak ini dan lebih sejuta telah terkorban dalam keadaan vaksin penawar kovid belum ditemui.

Ratusan  ribu rakyat negara ini telah hilang kerja akibat wabak manakala jutaan yang lain secukup hidup bertahan . Rakyat negara ini terpaksa berhemat dalam kehidupan yang nilai wang yang semakin merudum dan kuasa beli yang merosot. Mereka juga terpaksa memilih institusi pendidikan untuk anak-anak yang berkualiti namun kosnya rendah. Antara pendidikan prasekolah yang mencuat namanya di tanahair ini ialah Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI), menjadi fenomenal serta membanggakan para pendokong perjuangan Islam.

 PASTI terbukti lebih merakyat dan senang ditemui dipelbagai tempat, pulau dan kawasan pedalaman serta kawasan bandar. Institusi ini  melahirkan pelajar-pelajar berkualiti serta seimbang jasmani, emosi, rohani dan intelektual. Ratusan ribu alumni PASTI kini berkhidmat membangunkan negara ini termasuk para profesional aras tinggi , mengharum nama negara dalam bidang sukan, pendidikan serta pelbagai bidang yang lain.

Dengan perkembangan pantas landskap politik, ekonomi dan sosial negara ini selepas kemerdekaan. Pendidikan prasekolah telah dibangunkan dengan pesat sama ada oleh pihak kerajaan, kerajaan negeri, pertubuhan bukan kerajaan, kesatuan sekerja setempat, badan-badan Islam seperti PERKIM, persatuan gereja-gereja kristian, pertubuhan politik dan juga NGO-NGO Islam. Berlakunya kebangkitan Islam di negara ini dalam dasawarsa 70-an dan 80-an telah turut menyemarakkan perkembangan pendidikan  prasekolah, permintaan rakyat terhadap institusi pendidikan prasekolah Islam telah meningkat dengan berlakunya kesedaran Islam dalam keadaan peserta kebangkitan Islam tidak berpuas hati dengan prasekolah konvensional yang sedia ada di negara ini.

Di Terengganu pada tahun 1985, TASKI telah dikendalikan oleh Dewan Pemuda PAS Terengganu, manakala di Kelantan pula pusat pendidikan prasekolah yang ditaja oleh Lajnah Tarbiah Dewan Pemuda PAS Kelantan dikenali sebagai PUTRA ISLAM. Menurut Fauzi Zakaria, Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan iaitu Mohamad Hussin telah mengadakan beberapa kali pertemuan dengan siswazah-siswazah Islam, aktivis pelajar Islam dan juga pihak lujnah tarbiah pemuda untuk menggubal sukatan dan skop pengajian prasekolah ini.

Di negeri Kedah pula telah diwujudkan pendidikan prasekolah dibawah kendalian Dewan Pemuda PAS Kedah yang dikenali sebagai Pusat Asuhan Tunas Islam. Dewan Pemuda PAS Kedah yang dipimpin oleh Najib Pahmi Yahaya telah menubuhkan PASTI di setiap kawasan di Kedah yang dikendalikan oleh Pemuda PAS kawasan masing-masing. Menurut Ustaz Haji Fauzi Husain, kebangkitan pendidikan pra sekolah PASTI ini berpunca daripada Majlis Ihtifal PASTI bertempat di Bangunan Tepian Gelanggang oleh Tuanku Sultanah Bahiyah iaitu Permaisuri Sultan Kedah sendiri pada penghujung tahun 1988. Penubuhan PASTI dengan pantas mendapat sambutan di Kedah termasuk pelajar bukan Islam turut dihantar belajar seperti di kawasan Padang Serai dan juga Kodiang, Kedah.    

Perkembangan pesat pendidikan prasekolah di bawah kendalian Dewan-dewan Pemuda PAS Negeri telah menyebabkan timbulnya usul dalam Muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat pada tahun 1988 supaya diwujudkan program pendidikan untuk anak-anak ahli PAS. Keprihatinan  pemuda PAS ini juga berkait rapat dengan persaingan agenda kaderisasi dengan pertubuhan Islam lain di negara ini dan juga manifestasi kekecewaan Pemuda PAS dengan sistem pendidikan negara yang dilihat gagal melahirkan pelajar yang memahami Islam dengan baik.

Dewan Pemuda PAS Pusat yang sewaktu itu dipimpin oleh Dato'  Haji Abu Bakar Chik telah mengambil tindakan susulan daripada usul muktamar Pemuda PAS. Satu tindakan diambil dalam mesyuarat bulanan Dewan Pemuda PAS Pusat yang bersidang pada 6 Mei 1988 telah memutuskan penggunaan nama PASTI untuk semua institusi prasekolah milik ahli PAS dan sebuah jabatan yang dikenali sebagai jabatan pendidikan prasekolah dibentuk  diperingkat pusat diketuai oleh Abu Bakar Abdullah untuk menyelaraskan pendidikan prasekolah ini. 

Pada 29-30 Mei 1988 telah berlangsung seminar prasekolah di Masjid Rusila, Terengganu yang telah dianjurkan oleh Dewan Pemuda PAS Pusat. Seminar ini adalah rentetan daripada keseriusan Dewan Pemuda PAS untuk merakyatkan pendidikan prasekolah yang berorientasikan Islam di negara ini dengan penglibatan PAS dengan sistematik. Dua orang tokoh pendidikan PAS telah membentangkan kertas kerja iaitu Dato' Harun Taib dan Ustaz  Abdul Halim Arshad. 

Dalam sejarah penubuhan PASTI dan perkembangannya, Dr Haji Abu Bakar Abdullah telah dilantik sebagai pengarahnya yang pertama pada 18 Mei 1989, manakala Haji Mohd Najib Fahami Yahaya sebagai Timbalan Pengarah PASTI Pusat. Setiausaha PASTI Pusat yang pertama ialah Ishak Ismail manakala bendaharinya ialah Haji Noh Ahmad. Semua pengarah-Pengarah PASTI negeri telah dilantik untuk menganggotai Jawatankuasa PASTI peringkat Pusat.

(Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI)

Ulasan