Sridar An-Nur Bakal Dibuka Januari 2021


 Oleh: Jusmawari Jusoh

BESUT – Sekolah Rendah Islam An-Nur (SRIDAR) An-Nur bakal dibuka pada tahun hadapan di Kompleks Pendidikan Tahfiz Annur Besut,Kampung Alor Belanga dalam DUN Hulu Besut.

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat
Ustaz Dr. Riduan Mohamad Nor berkata, penubuhan sekolah ini bertujuan untuk menampung pendidikan anak-anak khususnya dari Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) untuk mendapat pendidikan Islam yang lengkap bermula seawal usia.

“Kami akan wujudkan pendidikan peringkat Islam sekolah rendah bagi menyemai kecintaan kepada Islam supaya menjadi wadah dalam membina generasi Al-Quran dan dapat menjadi pelapis para ulama menjalankan syariat Islam,” ujarnya ketika dihubungi pihak media, pada semalam.

Menurutnya, seramai 60 orang pelajar tahun satu bagi dua kelas dibuka untuk fasa pertama pada tahun hadapan dan sukatan pelajaran sama dengan Sekolan Rendah Islam Darul Furqan (SRIDAF) di Kampung Batu Tumbuh, di DUN Kota Putera.

Beliau yang juga Penyelaras Parlimen kawasan Besut bertanggungjawab atas pendidikan anak-anak di desa terutamanya mereka yang berada di kawasan Hulu Besut agar mendapat bimbingan dan ilmu pengetahuan secukupnya.

Ustaz Riduan menambah, SRIDAF yang ada sekarang agak jauh bagi masyarakat yang tinggal di Hulu Besut dan ia agak membebankan ibu bapa menghantar anak mereka ke sekolah tersebut.

Maka, beliau mengambil inisiatif dengan membina sebuah lagi sekolah DAR di daerah tersebut.

“Jadi dengan adanya Sridar An-Nur ini dapat membela nasib masyarakat setempat dan semoga institut ini dapat mencetuskan satu fenomena baru,” kata Dr Riduan.

Justeru itu, beliau berharap dengan penubuhan institut tersebut dapat mencetuskan satu fenomena baharu dalam pembudayaan ilmu di kalangan masyarakat khususnya Hulu Besut.

‘Insya Allah, semoga ia menjadi pilihan yang tepat untuk anak-anak mendapat pendidikan berorientasi Islam yang syumul dan bersepadu

“Jika tiada aral, selepas ini kami akan tubuhkan satu lagi Kolej Islam An-Nur dalam Kompleks Tahfiz An-Nur Besut,” tambah beliau.

Ulasan