Tangani Covid-19 Lebih Penting Daripada Berpolitik


 Oleh : Asyraf 

DUNGUN - Wabak COVID-19 yang mencatatkan peningkatan kes ketika ini sepatutnya menjadi keutamaan yang perlu ditangani semua pihak berbanding isu lain termasuk politik.

Pengarah Majlis Tindakan Dun (MTD) Sura, Wan Hapandi Wan Nik berkata, semua ahli politik digesa berhenti berpolitik. 

“Sayangilah rakyat dan usahlah berpolitik sehingga merugikan rakyat.

Bukan masa sekarang untuk tunjuk siapa kuat atau siapa paling banyak sokongan. Sekarang masa untuk kita bersatu padu melawan pandemik ini,” ujarnya ketika dihubungi semalam.

Wan Hapandi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura memaklumkan tindakan segelintir ahli politik yang tamak akan kuasa boleh mencetuskan ketidakstabilan ekonomi kepada negara. 

Beliau menegaskan isu covid-19 yang melanda seluruh dunia ketika ini lebih serius berbanding isu politik yang hanya menguntungkan sebelah pihak. 

“Kita dapat lihat dimana rakyat sudah muak dengan permainan ahli politik yang gila kuasa ini. 

Rakyat sudah penat melayan mereka ditambah dengan peningkatan kes covid-19 setiap hari seolah olah ahli politik ini tidak hiraukan rakyat,” katanya. 

Beliau turut menasihati semua pemimpin politik agar bersatu hati membantu rakyat melawan pandemik covid-19.

Ulasan